Peristiwa 13 MEI 1969 merupakan antara detik paling hitam dalam sejarah negara, apabila ketegangan kaum bertukar menjadi rusuhan berdarah yang meragut banyak nyawa serta memusnahkan harta benda. Tragedi ini tercetus dalam suasana politik yang tegang selepas pilihan raya umum, lalu menyemarakkan sentimen perkauman yang telah lama terpendam. Ia menjadi bukti bahawa api perpecahan jika tidak dikawal mampu memusnahkan keamanan yang dibina sekian lama.
Kesan daripada tragedi ini sangan mendalam. Kerajaan terpaksa mengisytiharkan darurat dan pentadbiran negara diambil alih oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Peristiwa ini membuka mata semua pihak tentang pentingnya perpaduan nasional. Pelbagai dasar diperkenalkan selepas itu bagi merapatkan jurang antara kaum dan memastikan kestabilan negara terus terpelihara.
Mengambil iktibar daripada peristiwa 13 MEI, masyarakat hari ini perlu lebih berhati-hati dalam mengurus perbezaan. Dalam era media sosial, provokasi, fitnah dan ucapan berbaur kebencian boleh tersebar dengan pantas tanpa kawalan. Jika dahulu rusuhan berlaku di jalanan, hari ini ia boleh bermula di hujung jari. Justeru, setiap individu bertanggungjawab menjaga keharmonian dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang memecahbelahkan.
Kesimpulannya, 13 MEI bukan sekadar sejarah untuk dikenang, tetapi amaran yang perlu sentiasa diingati. Keamanan yang kita nikmati hari ini bukan datang secara percuma, tetapi hasil daripada pengorbanan dan pengajaran pahit masa lalu. Jangan sampai generasi kini mengulangi kesilapan yang sama. Perpaduan bukan pilihan, tetapi keperluan untuk memastikan Malaysia terus aman dan stabil.
Sumber: Journal Asian Survey, 10(6), Malaysian Riots of 1969

Comments
Post a Comment