3R DICABAR: KEBEBASAN ATAU KETERLALUAN?


Isu melibatkan Race, Religion, Royalty (3R) kembali hangat apabila timbul kontroversi azan di kawasan perumahan serta dakwaan fitnah terhadap institusi diraja. Perkara-perkara seperti ini bukan sekadar “isu viral”, tetapi berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

Realitinya, 3R adalah garis sensitif yang menjadi asas kestabilan negara sejak merdeka. Namun hari ini, kita melihat semakin ramai individu berani menyentuh isu agama, kaum dan institusi raja secara terbuka tanpa adab, tanpa fakta dan kadang-kadang bermotif provokasi. Media sosial mempercepatkan penyebaran, menjadikan fitnah dan salah faham berkembang dalam masa singkat.

Persoalannya, kenapa ini berlaku?

Antara punca utama ialah salah faham terhadap konsep kebebasan bersuara. Ramai menganggap kebebasan itu mutlak, sedangkan dalam konteks Malaysia, ia datang bersama tanggungjawab dan batas undang-undang. Apabila kebebasan disalah guna dengan menghina agama, mempersoal hak kaum lain atau memperlekeh institusi diraja, ia bukan lagi hak, tetapi ancaman kepada keamanan.

Selain itu, faktor lain seperti pengaruh ideologi liberal melampau, budaya “viral tanpa semak”, serta kecenderungan mencari perhatian (clout chasing) turut memburukkan keadaan. Tanpa literasi media dan kesedaran sivik, masyarakat mudah terpedaya dan akhirnya menjadi penyumbang kepada ketegangan sosial.

Justeru itu, sebagai rakyat Malaysia perlu fahami bahawa, isu 3R bukan perkara kecil. Ia ibarat api dalam sekam. Jika dibiarkan mampu mencetuskan konflik yang lebih besar. Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, setiap individu memikul tanggungjawab untuk menjaga keharmonian.

Bijak bersuara, bukan sekadar bebas berkata.

Sumber: Journal of Malaysian Studies, 38(2) - UKM , Sinar Harian - 27 APR 2026, Berita RTM - 6 APR 2026


 

Comments