AMALAN SUNAT PADA HARI RAYA AIDILADHA


Hari Raya Aidiladha merupakan salah satu hari kebesaran umat Islam yang disambut dengan penuh kesyukuran dan penghayatan terhadap pengorbanan Nabi Ibrahim AS serta Nabi Ismail AS. Aidiladha bukan sekadar perayaan, bahkan menjadi medan untuk umat Islam memperbanyakkan ibadah, mengeratkan silaturahim dan menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.” (QS Al – Kauthar: 2).

Oleh itu, terdapat beberapa amalan sunat yang dianjurkan untuk diamalkan bagi menghidupkan syiar Hari Raya Aidiladha. Antara amalan sunat yang digalakkan ialah mandi sunat Hari Raya sebelum keluar menunaikan solat Aidiladha agar berada dalam keadaan bersih dan segar. Selain itu, umat Islam juga disunatkan memakai pakaian terbaik serta berwangi-wangian sebagai tanda memuliakan hari yang mulia ini. Daripada Jabir RA katanya:

“Nabi SAW mempunyai satu jubah yang Baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” (HR Baihaqi). 

Di samping itu, umat Islam digalakkan untuk bertakbir bermula dari malam raya sehingga hari-hari tasyrik sebagai tanda mengagungkan Allah SWT. FirmanNya:

“Dan hendaklah kamu membesarkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu.” (QS Al – Baqarah: 185).

Selain itu, antara sunnah yang membezakan Aidiladha dengan Aidilfitri ialah tidak makan sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Buraidah daripada ayahnya katanya:

Nabi Muhammad SAW tidak keluar ke tempat solat pada Aidilfitri sehinggalah baginda makan terlebih dahulu. Dan baginda tidak makan pada Aidiladha sehinggalah baginda solat terlebih dahulu.” (HR At – Tirmidzi). 

Selepas itu, umat Islam disunatkan menunaikan solat sunat Aidiladha secara berjemaah sama ada di masjid atau di kawasan lapang kerana ia merupakan syiar besar dalam Islam yang sangat dituntut. Di samping menghidupkan ibadah, Aidiladha juga mengajar umat Islam tentang adab dan hubungan sesama manusia. Rasulullah SAW turut mengamalkan mengambil jalan yang berbeza ketika pergi dan pulang dari solat Hari Raya. Daripada Jabir bin Abdullah RA, beliau berkata:

“Nabi SAW apabila pulang daripada solat pada hari raya, Baginda melalui jalan lain.” (HR Bukhari). 

Selain itu, Aidiladha merupakan masa terbaik untuk ziarah-menziarahi ahli keluarga, saudara-mara dan jiran tetangga bagi mengeratkan silaturahim. Dalam masa yang sama, umat Islam juga digalakkan untuk bermaaf-maafan dan membuang sifat ego demi menjaga ukhuwah sesama insan. Amalan mulia yang tidak harus dilupakan pada Hari Raya Aidiladha ialah bersedekah kepada golongan yang memerlukan terutama fakir miskin dan asnaf. Aidiladha mendidik umat Islam supaya sentiasa berkongsi rezeki dan membantu mereka yang kurang bernasib baik. Rasulullah SAW bersabda:

“Sedekah itu memadamkan dosa sebagaimana air memadamkan api.” (HR At – Tirmidzi).

Semoga Hari Raya Aidiladha yang disambut menjadi medan untuk kita meningkatkan ketakwaan, memperkukuhkan hubungan sesama manusia dan mencontohi pengorbanan serta ketaatan Nabi Ibrahim AS kepada Allah SWT.

Sumber: Portal Yayasan Ikhlas


 

Comments