Waktu Subuh merupakan saat yang paling mencabar bagi setiap mukmin kerana di situlah iman diuji antara nikmatnya tidur dan panggilan Ilahi untuk bersujud. Dalam suasana hening pagi, ketika kebanyakan manusia masih lena, bangunnya seorang hamba untuk menunaikan solat menjadi bukti cinta dan ketaatannya kepada Allah SWT. Sesungguhnya, Subuh bukan sekadar kewajipan, tetapi simbol pengorbanan jiwa yang memilih akhirat berbanding keselesaan dunia.
Kesucian waktu ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:
“Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir hingga gelap malam, dan (dirikanlah pula solat) Subuh. Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan (oleh para malaikat).” (QS Al – Isra’: 78).
Ayat ini menunjukkan betapa istimewanya waktu Subuh kerana ia disaksikan oleh malaikat, sekali gus menjadikannya antara waktu yang penuh keberkatan dan rahmat.
Namun, timbul persoalan: apakah hukum tidur semula setelah terjaga pada waktu Subuh? Secara asasnya, ia boleh menjadi harus (walaupun makruh) sekiranya seseorang itu yakin mampu bangun semula sebelum waktu habis, contohnya dengan bantuan penggera atau ahli keluarga. Namun, hukumnya boleh bertukar menjadi haram jika seseorang itu sengaja kembali tidur tanpa sebarang usaha untuk bangun sehingga terlepas solat. Rasulullah SAW telah memberi peringatan keras:
“Adapun orang yang kepalanya dipecahkan dengan batu… dia tidur sehingga meninggalkan solat fardu.” (HR Bukhari).
Hadis ini menggambarkan betapa beratnya akibat meninggalkan solat dengan sengaja. Kesan buruk akibat sengaja tidur hingga terlepas waktu Subuh amat besar. Antaranya ialah hilangnya keberkatan pagi, jiwa menjadi tidak tenteram dan cenderung kepada sifat munafik. Rasulullah SAW bersabda bahawa solat yang paling berat bagi orang munafik ialah solat Isyak dan Subuh (HR Bukhari dan Muslim).
Oleh itu, untuk istiqamah bangun Subuh, kita perlu segera bangkit tanpa melayan bisikan syaitan, membasuh muka dengan air sejuk untuk menyegarkan diri, serta meminta bantuan keluarga atau rakan agar terus mengejutkan kita sehingga benar-benar bangun.
Solat dalah tiang agama dan waktu Subuh adalah ujian paling nyata bagi kekuatan tiang tersebut. Janganlah kita menggadaikan hari-hari kita dengan dosa sengaja meninggalkan solat hanya kerana malas bangun. Ketetapan hukum terhadap perbuatan sengaja tidur semula selepas terjaga adalah satu didikan agar kita menghargai setiap peluang yang Allah SWT berikan untuk beribadah dan bertaubat. Semoga kita tergolong dalam hamba-hamba yang menjaga solat dan memperoleh keberkatan hidup di dunia serta keselamatan di akhirat.
Sumber: Youtube Ustaz Azhar Idrus official

Comments
Post a Comment