MARI LIPAT GANDAKAN PAHALA DENGAN MELAKUKAN AMALAN 10 HARI PERTAMA ZULHIJJAH


Sepuluh hari pertama Zulhijjah merupakan hari-hari yang sangat istimewa dan penuh keberkatan dalam Islam. asulullah SAW bersabda:

“Tiada hari-hari yang amal soleh padanya lebih dicintai Allah daripada hari-hari ini (sepuluh hari pertama Zulhijjah).” (HR Bukhari).

Oleh itu, umat Islam digalakkan merebut peluang ini dengan memperbanyakkan ibadah dan amal kebajikan bagi meraih pahala yang berlipat ganda serta keampunan daripada Allah SWT. Antara amalan yang sangat dianjurkan ialah:

1) Berpuasa sunat. Disunatkan berpuasa dari 1 hingga 9 Zulhijjah terutama Hari Arafah. Sabda Rasulullah SAW:
“Puasa hari Arafah menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” (HR Muslim).
2) Bertakbir, bertahmid dan bertasbih. Perbanyakkan zikir seperti takbir, tahmid, tahlil dan tasbih.
3) Solat sunat. Tingkatkan amalan solat Dhuha, Tahajjud dan Witir.
4) Membaca al-Quran. Luangkan masa membaca serta menghayati al-Quran. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang paling lurus.” (QS Al – Isra’: 9).
5) Berdoa dan beristighfar. Perbanyakkan doa dan memohon keampunan kepada Allah SWT.
6) Bersedekah. Gandakan amalan sedekah kepada golongan memerlukan. Rasulullah SAW bersabda:
“Sedekah itu memadamkan dosa sebagaimana air memadamkan api.” (HR At – Tirmidzi).
7) Berbuat baik kepada ibu bapa. Tingkatkan layanan baik dan doa kepada ibu bapa.
8) Menjaga silaturahim. Eratkan hubungan dengan keluarga dan sahabat.
9) Melakukan ibadah korban. Bagi yang mampu, laksanakan ibadah korban pada 10 Zulhijjah.
10) Menjauhi maksiat. Pelihara diri daripada dosa dan perkara yang melalaikan. Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan jalan yang buruk.” (QS Al – Isra’: 32).

Perlu kita ketahui, sepuluh hari pertama Zulhijjah merupakan peluang keemasan bagi setiap umat Islam untuk memperbanyakkan amal ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Setiap amalan yang dilakukan seperti berpuasa, berzikir, membaca al-Quran, bersedekah serta menjaga hubungan sesama manusia akan diberikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT.

Justeru, marilah kita bersama-sama merebut keberkatan hari-hari mulia ini dengan penuh keikhlasan dan istiqamah agar menjadi insan yang lebih bertakwa serta memperoleh keampunan dan rahmat daripada Allah SWT. Semoga segala amal soleh yang dilakukan diterima dan menjadi bekalan menuju kebahagiaan di dunia serta akhirat.

Sumber: Youtube Kuiscell, Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS)


 

Comments