Fenomena kemalangan maut akibat pemandu mabuk di bawah pengaruh alkohol semakin membimbangkan masyarakat di Malaysia. Hampir saban tahun, rakyat disajikan dengan berita kehilangan nyawa yang tidak berdosa akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu yang memandang ringan soal keselamatan di jalan raya. Persoalannya, sampai bilakah rakyat Malaysia perlu hidup dalam kebimbangan dan ketakutan setiap kali berada di jalan raya? Islam amat menitikberatkan penjagaan nyawa kerana nyawa manusia merupakan amanah yang sangat bernilai di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 32:
“Dan sesiapa yang membunuh seorang manusia bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain atau bukan kerana melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia seluruhnya.”
Lebih menyedihkan apabila masih terdapat kes-kes terdahulu yang belum mendapat pembelaan sewajarnya, sedangkan keluarga mangsa terus menanggung kesedihan dan trauma yang berpanjangan. Berapa banyak lagi nyawa yang tidak bersalah perlu terkorban sebelum tindakan lebih tegas diambil? Dalam Islam, keadilan wajib ditegakkan tanpa mengira kedudukan atau latar belakang seseorang. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 58:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil.”
Keadilan yang lambat ditegakkan bukan sahaja mengundang keresahan rakyat, bahkan boleh menghakis keyakinan masyarakat terhadap sistem perundangan negara. Islam juga dengan jelas mengharamkan segala perkara yang memabukkan kerana ia menjadi punca kepada pelbagai kerosakan dan kemudaratan. Allah SWT berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah adalah najis daripada amalan syaitan, maka jauhilah ia agar kamu beroleh kejayaan.” (QS Al – Maidah: 90).
Rasulullah SAW juga bersabda:
“Setiap yang memabukkan itu adalah arak, dan setiap arak itu haram.” (HR Muslim).
Pengambilan alkohol bukan sahaja merosakkan akal dan pertimbangan, malah boleh membawa kepada kecuaian yang akhirnya mengorbankan nyawa orang lain. Oleh itu, isu pemandu mabuk bukan sekadar masalah undang-undang, tetapi juga masalah moral dan agama yang wajib dipandang serius.
Harapan rakyat kini terletak kepada pihak kerajaan serta penguat kuasa undang-undang untuk menjalankan amanah dengan tegas dan berkesan. Tindakan yang lebih keras perlu diambil terhadap mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol, termasuk hukuman yang setimpal serta penguatkuasaan yang konsisten tanpa kompromi. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya.” (HR Bukhari dan Muslim).
Hadis ini memberi peringatan bahawa para pemimpin dan pihak berautoriti mempunyai tanggungjawab besar untuk melindungi rakyat serta memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara.
Justeru, semua pihak perlu berganding bahu dalam menangani isu ini sebelum lebih banyak nyawa menjadi korban. Kerajaan perlu segera memperkukuhkan undang-undang, memperhebat kempen kesedaran dan memastikan pelaksanaan hukuman dilakukan secara adil serta tegas. Masyarakat pula hendaklah menjadikan ajaran Islam sebagai panduan hidup dengan menjauhi segala perkara yang boleh membawa mudarat kepada diri dan orang lain.
Sesungguhnya Islam datang untuk memelihara lima perkara utama iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Semoga tragedi yang meragut nyawa insan tidak berdosa ini menjadi pengajaran kepada semua agar keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara.
Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan

Comments
Post a Comment