Kes penderaan terhadap seorang wanita hamil yang membawa kepada keguguran baru-baru ini bukan sekadar jenayah di sisi undang-undang, tetapi juga satu pengkhianatan besar terhadap amanah Allah SWT dalam institusi perkahwinan.
Dalam Islam, perkahwinan dibina atas dasar rahmah (kasih sayang), mawaddah (cinta) dan sakinah (ketenangan). Namun apabila tangan yang sepatutnya melindungi bertukar menjadi alat menyakiti, maka runtuhlah nilai suci sebuah rumah tangga. Lebih memilukan apabila nyawa yang tidak berdosa turut menjadi korban.
Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nisa’ ayat 19: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu) dengan cara yang baik.”
Ayat ini jelas menuntut lelaki untuk berlaku ihsan dan berakhlak mulia terhadap isteri. Bahkan Rasulullah SAW juga bersabda:
Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya.” ( HR At - Tirmidzi).
Maka, sebarang bentuk kekerasan bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, malah mencerminkan kegagalan memahami tanggungjawab sebagai suami.
Dalam konteks ini, Islam menekankan kepentingan memilih pasangan yang bersifat qawwam iaitu seorang lelaki yang bertanggungjawab, memimpin dengan hikmah dan melindungi keluarganya, bukan menindas.
Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ ayat 34 menyebut bahawa lelaki adalah pemimpin kepada wanita, namun kepimpinan ini bukan lesen untuk berkuasa secara zalim, sebaliknya amanah untuk menjaga dan membimbing. Tanpa sifat qawwam yang sebenar, institusi keluarga akan mudah goyah dan dipenuhi kezaliman.
Selain itu, kedua-dua lelaki dan wanita juga perlu memiliki sifat qanaah iaitu rasa cukup, redha dan bersyukur dengan apa yang dimiliki. Banyak konflik rumah tangga berpunca daripada ketidakpuasan hati, tekanan hidup dan kegagalan mengawal emosi. Individu yang qanaah akan lebih sabar, tenang dan tidak mudah bertindak melulu. Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh beruntung orang yang masuk Islam, diberi rezeki yang mencukupi dan Allah menjadikannya qanaah terhadap apa yang diberikan kepadanya.” (Hadis riwayat Muslim).
Akhirnya, tragedi seperti ini harus menjadi peringatan keras kepada masyarakat agar lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup. Perkahwinan bukan sekadar soal cinta, tetapi soal amanah, tanggungjawab dan keimanan. Pilihlah pasangan yang berakhlak, memahami agama dan mampu mengawal diri dalam apa jua keadaan. Tanpa asas ini, rumah tangga bukan sahaja gagal menjadi syurga, malah boleh bertukar menjadi medan penderitaan yang meragut kebahagiaan dan nyawa.
Sumber: Portal Rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Comments
Post a Comment