QADIANI KEMBALI TULAR? JANGAN SAMPAI AKIDAH TERGADAI ANGKARA IKUT TREND

 


Ajaran sesat bukan benda baru, tapi yang membimbangkan apabila ianya kembali tular dengan wajah baru di media sosial. Contohnya, ajaran Ahmadiah atau turut dikenali sebagai ajaran Qadiani yang diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad. Ajaran ini dianggap sesat dan menyeleweng daripada agama Islam kerana pengasasnya mendakwa dirinya sebagai Nabi yang menerima wahyu, dirinya sebagai Imam Mahdi, dirinya sebagai Nabi Isa dan sebagainya. Hal ini bukan isu kecil, ini soal akidah.

Di Malaysia, perkara ini sudah jelas. Pelbagai negeri telah mengeluarkan fatwa bahawa Qadiani adalah sesat dan menyeleweng, malah boleh membawa kepada murtad jika dipercayai dan diamalkan. Ini bukan sekadar pandangan biasa, tetapi keputusan rasmi pihak berautoriti agama selepas kajian mendalam. Maknanya, umat Islam memang dilarang terlibat, menyokong atau menyebarkan ajaran Qadiani dalam apa jua bentuk.

Masalah hari ini, ajaran seperti ini tidak datang secara terang-terangan. Ia dibungkus dengan “ceramah moden”, “mesej spiritual” atau kononnya membawa kebenaran baru. Ada yang guna media sosial untuk tarik perhatian, nampak menarik, tapi sebenarnya menyimpang. Ramai terpedaya bukan sebab jahil sepenuhnya, tapi sebab terlalu mudah percaya tanpa semak.

Justeru itu, jangan jadikan agama sebagai eksperimen. Bukan semua yang tular itu benar. Akidah bukan trend yang boleh dicuba-cuba. Kalau tersilap langkah kesannya bukan setakat dunia, tapi sampai akhirat. Pegang kuat Al-Quran, Sunnah dan rujuk ulama yang berautoriti, itu benteng paling selamat dalam dunia yang penuh kekeliruan pada hari ini.   

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor


Comments