RAMAI MASUK ISLAM, TAPI MENGAPA MASIH ADA YANG MURTAD?


Isu murtad dalam kalangan umat Islam bukan perkara remeh, bahkan ia menyentuh soal akidah yang menjadi teras kehidupan seorang Muslim. Laporan akhbar mendedahkan bahawa seramai 1,675 individu direkodkan memeluk Islam di Selangor pada tahun lalu. Ini sepatutnya membuka mata pada golongan yang berniat untuk menggadaikan akidah, ketika orang lain mencari hidayah dan kebenaran, mengapa masih ada yang dilahirkan sebagai Muslim tetapi memilih untuk meninggalkan agama?

Realitinya, murtad bukan berlaku secara tiba-tiba. Ia bermula dengan kelemahan ilmu agama, kelalaian menjaga iman serta pengaruh persekitaran yang rosak. Apabila hidup dikuasai hedonisme, fahaman liberal melampau dan gaya hidup bebas tanpa batas, akidah menjadi rapuh. Tanpa pegangan yang kukuh, seseorang mudah terumbang-ambing dan akhirnya tersasar jauh daripada landasan sebenar.

Lebih menyedihkan ada yang menjadikan alasan “kebebasan diri” sebagai tiket untuk keluar daripada Islam. Sedangkan Islam bukan sekadar identiti, tetapi kebenaran yang perlu difahami dan dipertahankan. Jika mereka yang baru mengenal Islam mampu melihat keindahan agama ini, mengapa kita yang telah lama berada di dalamnya gagal menghargai, menambah baik dan mempertahankannya?

Ini adalah peringatan untuk kita semua. Muhasabah diri sebelum terlambat. Perkukuhkan ilmu, jaga iman dan dekatkan diri kepada Allah SWT. Jangan sampai kita tergelincir dalam diam, sedangkan orang lain sedang berusaha keras untuk mencari cahaya yang kita miliki sejak lahir.

Sumber: Kosmo – 09 MEI 2026


 

Comments