SAMBUTAN HARI IBU: SATU KESALAHFAHAMAN YANG HARUS DIPERBETULKAN

 


“Jangan sambut hari ibu! Haram!”, “Hari ibu itu sambutan agama lain! Jatuh kafir kalau sambut!”. Itu adalah pandangan sesetengah pihak yang terlalu taksub dengan sesuatu yang tidak pernah diwujudkan oleh agama Islam. Akhirnya, mereka mewujudkan sendiri naratif yang tidak tepat hingga mengelirukan masyarakat. Walaupun hari ibu sudah pun berlalu dua hari, namun pembetulan dari kesalahfahaman harus dijelaskan dengan terperinci.

Jadi, apa hukumnya bila ada yang menyambut hari ibu? Hukum sambutan Hari Ibu adalah dibenarkan dan tidak bercanggah dengan syarak kerana ia bukan termasuk dalam perayaan keagamaan. Sambutan ini dilaksanakan bagi memuliakan seorang insan yang bergelar ibu serta menzahirkan penghargaan kepadanya atas segala jasa dan pengorbanan yang dilakukan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Namun begitu, amalan menghargai jasa dan pengorbanan ibu ini tidak terhad pada masa atau tarikh tertentu, malah kewajipannya berpanjangan dan berkekalan sebagaimana yang telah dititikberatkan dalam al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. Firman Allah SWT:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.” (QS Al – Ahqaf: 15).

Allah SWT memerintahkan serta mewajibkan sekalian manusia untuk berbuat baik dan berbelas kasihan kepada kedua ibu bapanya dan berbakti kepada mereka semasa hayat dan juga selepas kematiannya. Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang besar kepada orang yang berbakti kepada ibu bapanya kerana ia merupakan ibadah yang paling utama untuk dilakukan, bahkan mereka yang menderhakai keduanya maka perbuatan itu termasuk dalam dosa-dosa besar.

Adakah sambutan hari ibu menyerupai kaum kafir? Menurut ulama kontemporari, terdapat dua pandangan menyambut hari ibu:

1. Haram. Penglibatan umat Islam dalam apa-apa perayaan yang menyerupai agama lain adalah dilarang menurut syarak. Hal ini berpandukan kepada hadis daripada Ibn Umar RA bahawa Baginda Nabi SAW bersabda:

“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dalam kalangan mereka.” (HR Abu Daud).

2. Harus. Menurut Jabatan Fatwa Jordan, sekiranya yang dimaksudkan oleh ‘Hari Ibu’ apabila mereka menghargai ibu masing-masing dan menghadiahkan ibu dengan hadiah, maka ia bukanlah termasuk dalam istilah perayaan. Bahkan ia adalah hari menghargai dan menzahirkan kasih sayang untuk ibu.

Sebagai umat Islam, kita digalakkan menghargai jasa dan pengorbanan seorang ibu pada setiap hari dengan mengikut sunnah yang ditetapkan seperti:

1. Berdoa untuk kesejahteraan mereka.
2. Memberi hadiah sebagai tanda penghargaan.
3. Berlemah lembut kepada mereka. Jangan sekali-kali meninggikan suara walaupun kita sedang dalam keadaan tertekan.
4. Ziarah dan khidmat. Jika berjauhan, pulanglah menemui mereka. Jika dekat, berkhidmatlah dengan tenaga kita.

Seiring dengan perubahan masa, sambutan hari ibu tidak lagi dilaksanakan untuk memperingati para dewi, bahkan semata-mata disambut bagi memuliakan seorang insan yang bergelar ibu serta menzahirkan penghargaan kepadanya atas segala jasa dan pengorbanan yang dilakukan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Amalan menghargai jasa dan pengorbanan ibu ini tidak terhad pada masa atau tarikh tertentu, malah kewajipannya berpanjangan dan berkekalan sebagaimana yang telah dititikberatkan dalam al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments