Sambutan memperingati Imam Ali al-Ridha adalah antara amalan penting dalam kalangan penganut Syiah, khususnya Syiah Imamiyyah. Beliau ialah Imam ke-8 dan biasanya sambutan ini dibuat secara besar-besaran melibatkan majlis doa, ceramah, ratapan serta ziarah ke makam beliau di Mashhad, Iran.
Meskipun Syiah telah dihukumkan sesat di Malaysia, penganut Syiah negara ini tetap menyambut majlis memperingati Imam Ali al-Ridha dalam skala yang kecil dan tertutup. Sambutan diraikan setiap 11 Zulkaedah dan pada tahun 2026 ianya disambut pada 29 APR 2026. Majlis dimulakan selepas waktu Maghrib atau pada malam berikutnya. Antara medium yang digunakan bagi sambutan ini adalah:
i. Majlis di Pusat Kebudayaan Iran (Kuala Lumpur) – Ceramah & Program keagamaan
ii. Majlis selawat dan zikir dalam kalangan komuniti kecil Syiah di premis persendirian – rumah, hauzah
iii. Program ilmu atas talian – youtube/media sosial
Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), sambutan ini dianggap menyimpang kerana Syiah menganggap Imam mereka adalah maksum dan mempunyai kuasa luar biasa, terdapat amalan ritual dan ratapan yang melampau dalam memperingati tokoh agama serta merujuk kepada hadis dan tafsiran tersendiri yang berbeza dengan ASWJ. Oleh sebab itu, Syiah telah difatwakan haram di Malaysia.
Apa yang perlu umat Islam fahami, sambutan memperingati Imam Ali al-Ridha, Imam Syiah ke-8 ini bukan sekadar budaya, tetapi ia berkait rapat dengan perbezaan akidah yang jelas bertentangan dengan pegangan Islam sebenar berasaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sumber: Jurnal Usuluddin, 40(2) – Universiti Malaya

Comments
Post a Comment