TAKUT DOSA TIDAK DIAMPUNKAN? KENALI TANDA TAUBAT DITERIMA ALLAH SWT


Pernah atau tidak terdetik di dalam diri kita, adakah rintihan memohon ampun yang kita panjatkan itu benar-benar didengari oleh Allah? Sebagai hamba yang sering tergelincir dalam lembah maksiat, ketakutan terbesar bukanlah kehilangan dunia, tetapi pulang ke alam barzakh dalam keadaan memikul gunung dosa yang belum diampunkan. Namun, di sebalik kegusaran itu, kita harus yakin bahawa rahmat Allah mendahului kemurkaan-Nya. Firman Allah dalam Al-Quran:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa.” (QS Az – Zumar: 53).

Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar setiap rintihan hamba-Nya. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah lebih gembira dengan taubat seorang hamba-Nya daripada kegembiraan seseorang yang menemukan kembali untanya yang hilang di padang pasir.” (HR Bukhari dan Muslim). 

Hadis ini menggambarkan betapa luasnya kasih sayang Allah terhadap hamba yang kembali kepada-Nya. Maka, jangan pernah meragui bahawa taubat kita sia-sia, kerana setiap air mata penyesalan itu sangat bernilai di sisi-Nya.

Terdapat beberapa tanda yang boleh menenangkan hati kita bahawa taubat yang dilakukan diterima oleh Allah. Antaranya ialah apabila ibadah terasa ringan dan seronok untuk dilakukan. Solat yang dahulu terasa berat kini menjadi penenang jiwa, zikir yang dulunya dilupakan kini menjadi teman harian. Selain itu, perubahan akhlak juga menjadi tanda paling ketara; dari seseorang yang mudah melakukan dosa kepada insan yang lebih berhati-hati dalam setiap perbuatan dan percakapan.

Di samping itu, orang yang benar-benar bertaubat akan terus istiqamah beristighfar walaupun merasakan dirinya sudah berubah. Lidahnya tidak lekang daripada menyebut “Astaghfirullah”, dan hatinya sentiasa merendah diri di hadapan Allah. Dia juga mula meletakkan dunia di tangan, bukan di hati - menggunakan dunia sebagai alat, bukan tujuan. Firman Allah:

“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (QS An – Nur: 31). 

Akhirnya, jika kita merasakan tanda-tanda taubat diterima ini hadir dalam diri - iaitu rasa seronok melakukan kebaikan dan membenci dosa, maka bersyukurlah dan teruskan istiqamah. Jangan sesekali merasa cukup, kerana perjalanan menuju reda Allah tidak pernah berpenghujung. Ingatlah, Allah sangat mencintai hamba-Nya yang sering kembali mengadu dan menyucikan diri kepada-Nya. Selagi nyawa belum sampai ke kerongkong, pintu taubat sentiasa terbuka luas.

Sumber: Portal Waktu Solat Malaysia


 

Comments