ADAKAH BOLEH MENGGUNAKAN DAGING KORBAN UNTUK KENDURI?


Walaupun sambutan Aidiladha telah pun berlalu, namun persoalan ini sering kali timbul saban tahun dalam kalangan umat Islam sama ada daging korban boleh digunakan untuk kenduri keluarga atau jamuan masyarakat. 

Jawapannya ialah boleh, namun terdapat syarat yang perlu dipatuhi menurut hukum syarak. Bagi ibadah korban sunat, pemilik korban dibenarkan memakan sebahagian daging korban dan menggunakannya untuk menjamu tetamu, ahli keluarga serta jiran tetangga selepas hak golongan fakir miskin ditunaikan terlebih dahulu.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hajj ayat 28: 

"Maka makanlah sebahagian daripadanya dan berilah makan kepada orang yang susah lagi fakir." 

Ayat ini menunjukkan bahawa daging korban boleh dimakan oleh orang yang berkorban, namun pada masa yang sama wajib mengambil berat terhadap kebajikan golongan yang memerlukan. Dalam mazhab Syafie, sekurang-kurangnya sebahagian daripada daging korban hendaklah disedekahkan dalam keadaan mentah kepada fakir miskin supaya mereka memiliki hak penuh ke atas daging tersebut.

Rasulullah SAW juga bersabda: "Makanlah daripadanya, simpanlah dan bersedekahlah dengannya." (HR Muslim).

 Hadis ini menjadi dalil bahawa daging korban boleh dimanfaatkan untuk kegunaan sendiri dan kenduri. Namun, ibadah korban merupakan amanah yang mempunyai syarat-syarat tertentu. Jika korban itu merupakan korban nazar, maka keseluruhan daging hendaklah disedekahkan dan tidak boleh dimakan oleh orang yang bernazar serta tanggungannya.

Perkara ini turut dijelaskan oleh ulama mazhab Syafie seperti Imam al-Syirbini yang menyatakan bahawa tidak memadai sekadar memberi makan kepada fakir miskin dalam bentuk hidangan yang telah dimasak. Ini kerana hak mereka adalah terhadap pemilikan daging korban itu sendiri, bukan sekadar menikmati makanan yang disediakan. Oleh itu, bahagian untuk fakir miskin hendaklah diasingkan terlebih dahulu sebelum daging digunakan untuk kenduri atau tujuan lain.

Sekiranya berlaku kesilapan sehingga semua daging korban dimasak dan digunakan untuk kenduri tanpa ada bahagian mentah yang disedekahkan kepada fakir miskin, maka individu yang berkorban perlu menggantikan nilai bahagian yang sepatutnya disedekahkan. Hal ini penting bagi memastikan ibadah korban dilaksanakan mengikut tuntutan syarak dan mencapai hikmah sebenar iaitu mendekatkan diri kepada Allah SWT serta berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan. 

Semoga ibadah korban yang dilakukan diterima oleh Allah SWT dan menjadi sumber keberkatan buat seluruh umat Islam.

Sumber: Bahagian Dakwah JAKIM

Comments