Penguatkuasaan Akta Antibuli 2026 [Akta 876] pada 16 Jun 2026 merupakan langkah tegas negara dalam membanteras budaya buli yang semakin membimbangkan. Buli bukan sekadar salah laku sosial, bahkan satu bentuk kezaliman yang ditegah keras dalam Islam.
Nabi SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman: “Wahai hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku, dan Aku menjadikannya haram di antara kamu, maka janganlah kamu saling menzalimi.” (Riwayat Sahih Muslim).
Jelas bahawa akta ini bukan sahaja memenuhi tuntutan undang-undang, tetapi juga selari dengan prinsip agama dalam melindungi mangsa daripada penindasan fizikal dan emosi.
Selain itu, pengenalan liabiliti terhadap ibu bapa dalam akta ini menegaskan bahawa pembentukan sahsiah anak-anak bermula dari rumah. Ibu bapa tidak boleh lepas tangan apabila anak terlibat dalam perbuatan buli. Dalam masa yang sama, pelajar dan masyarakat juga memikul tanggungjawab untuk tidak berdiam diri terhadap kemungkaran. Ini menyokong keperluan melaporkan kes buli serta tindakan proaktif pihak sekolah melalui jawatankuasa khas.
Akhirnya, matlamat utama akta ini adalah untuk mewujudkan persekitaran yang selamat, beradab dan bebas daripada ancaman buli, termasuk buli siber.
Justeru itu, rakyat Malaysia perlu melihat akta ini bukan sekadar peraturan, tetapi sebagai tanggungjawab bersama. Dengan kesedaran, keberanian dan penghayatan nilai agama, kita mampu membina generasi yang lebih berakhlak, berani menegakkan kebenaran dan menolak segala bentuk kezaliman.

Comments
Post a Comment