Islam mengajar umatnya agar membina kehidupan di atas asas yang kukuh supaya memperoleh kebahagiaan di dunia dan keselamatan di akhirat. Dalam sebuah hadis, Abu Dzar al-Ghifari RA meriwayatkan bahawa beliau meminta wasiat daripada Rasulullah SAW, lalu Baginda bersabda:
“Aku wasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah, kerana ia adalah pokok segala urusan.” Kemudian Baginda menambah: “Hendaklah kamu sentiasa membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah kerana sesungguhnya ia menjadi cahaya untukmu di bumi, dan simpanan untukmu di langit.” (HR Ibn Hibban).
Hadis ini menghimpunkan tiga asas utama kehidupan seorang Muslim iaitu takwa kepada Allah, membaca al-Quran dan memperbanyakkan zikir.
Takwa merupakan teras kepada segala urusan kehidupan. Ia bukan sekadar rasa takut kepada Allah, tetapi melibatkan ketaatan yang penuh kepada perintahNya, menjauhi laranganNya serta sentiasa mengawasi diri daripada melakukan dosa dan maksiat. Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” (QS Ali ‘Imran: 102).
Orang yang bertakwa akan menjadikan syariat sebagai panduan dalam membuat keputusan, menjaga akhlak, memelihara hubungan sesama manusia dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Selain takwa, Rasulullah SAW menekankan kepentingan tilawah al-Quran dalam kehidupan seorang Mukmin. Al-Quran bukan sekadar dibaca, bahkan perlu difahami, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang paling lurus.” (QS al-Isra’: 9).
Al-Quran menjadi penerang ketika manusia berada dalam kegelapan, penawar bagi penyakit hati serta sumber kekuatan ketika berhadapan dengan pelbagai ujian kehidupan. Mereka yang sentiasa mendampingi al-Quran akan memperoleh ketenangan jiwa dan bimbingan yang benar daripada Allah SWT.
Zikir pula menjadi penghubung yang sentiasa mengikat hati seorang hamba dengan Tuhannya. Imam an-Nawawi dalam kitab al-Adzkar menjelaskan bahawa zikir dan tilawah al-Quran bukan sekadar ibadah lisan, bahkan merupakan ibadah hati yang memberi kesan besar kepada kehidupan manusia. Allah SWT berfirman:
“Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.” (QS ar-Ra‘d: 28).
Hati yang sentiasa basah dengan zikir akan memperoleh ketenangan, kekuatan dalaman dan perlindungan daripada godaan syaitan serta pengaruh buruk dunia yang melalaikan.
Justeru, hadis ini mengajar bahawa bekalan utama seorang Mukmin ialah hati yang bertakwa, jiwa yang hidup dengan al-Quran dan lidah yang sentiasa berzikir kepada Allah. Ketiga-tiga amalan ini merupakan sumber kekuatan rohani, cahaya kehidupan dan bekalan menuju akhirat.
Marilah kita berusaha membangunkan hati dengan takwa, menghidupkan lidah dengan tilawah al-Quran serta menenangkan jiwa dengan zikirullah yang berterusan agar kita tergolong dalam kalangan hamba-hamba Allah yang berjaya di dunia dan berbahagia di akhirat.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Comments
Post a Comment