BILA NIAT BAIK TERSASAR - SELAWAT PERLU HIKMAH, BUKAN SEKADAR SEMANGAT

 


Isu individu berselawat secara kuat dalam pengangkutan awam seperti MRT baru-baru ini membuka ruang perbincangan tentang keseimbangan antara semangat beragama dan adab bermasyarakat. Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW sememangnya amalan mulia yang dituntut dalam Islam, namun cara dan tempat pelaksanaannya juga perlu selari dengan nilai ihsan dan hikmah. Islam bukan sekadar ibadah zahir, tetapi turut menekankan sensitiviti terhadap keadaan sekeliling agar tidak menimbulkan ketidakselesaan kepada orang lain.

Pendakwah mengingatkan bahawa sikap terlalu ghairah tanpa memahami konteks boleh membawa kepada keadaan yang disebut sebagai “cacat dalam beragama” iaitu apabila seseorang berpegang kepada amalan agama tetapi mengabaikan adab, kebijaksanaan dan kesejahteraan sosial. Dalam konteks MRT, ruang awam yang dikongsi pelbagai lapisan masyarakat menuntut kita menjaga adab termasuk tidak mengganggu ketenteraman orang lain. Rasulullah SAW sendiri menunjukkan akhlak tinggi dalam berdakwah, penuh kelembutan dan tidak memaksa, malah menjaga perasaan orang di sekeliling.

Kesedaran ini penting agar umat Islam tidak dilihat ekstrem atau tidak sensitif sehingga akhirnya menjejaskan imej agama Islam itu sendiri. Dakwah yang berkesan bukan sekadar pada lafaz, tetapi pada akhlak dan kebijaksanaan dalam bertindak. Justeru itu, berselawatlah tetapi dengan adab, pada tempat dan cara yang sesuai. Islam itu indah apabila diamalkan dengan seimbang, bukan sekadar semangat tanpa pertimbangan.


Comments