Fenomena demam FIFA World Cup menyaksikan ramai peminat memakai jersi pasukan kegemaran masing-masing sebagai tanda sokongan. Dari sudut hukum, pemakaian jersi bola pada asasnya adalah harus, selagi ia sekadar pakaian biasa dan tidak mengandungi unsur yang bercanggah dengan syariat Islam. Namun, keharusan ini bukan mutlak kerana ia boleh berubah bergantung kepada kandungan, simbol dan mesej yang terdapat pada jersi tersebut.
Isu timbul apabila sesetengah jersi melibatkan negara seperti Norway, Belgium, Sweden, Brazil, Portugal dan Switzerland yang mempunyai elemen tertentu pada bendera atau logo, termasuk bentuk salib atau simbol yang berkait dengan agama lain. Dalam keadaan ini, umat Islam perlu berhati-hati kerana ia boleh membawa kepada unsur tasyabbuh (penyerupaan) yang dilarang. Lebih membimbangkan, sikap terlalu terbuka tanpa tapisan ini sering dikaitkan dengan fahaman liberalisme yang mengabaikan batas akidah demi kebebasan. Sedangkan Allah SWT berfirman:
"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, kelak kamu akan disentuh api neraka.." (Surah Hud: 113)
Kesimpulannya, memakai jersi World Cup dibolehkan dengan syarat tiada unsur yang bercanggah dengan akidah. Jika terdapat simbol yang meragukan atau jelas bertentangan, maka sebaiknya dielakkan atau ditutup. Dalam keghairahan menyokong sukan, umat Islam perlu kekal berprinsip dan tidak terikut-ikut dengan arus semasa. Sokongan kepada sukan itu harus, tetapi penjagaan akidah adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi.

Comments
Post a Comment