HARI ASYURA: JANGAN LEPASKAN 10 MUHARAM

 


10 Muharam atau hari Asyura merupakan hari yang penuh makna dalam sejarah Islam. Antara peristiwa besar ialah kemenangan Nabi Musa AS dan kaumnya daripada kezaliman Firaun. Sebagai tanda syukur, Baginda berpuasa pada hari tersebut dan amalan itu kemudiannya disunnahkan oleh Nabi Muhammad SAW. Bahkan, Rasulullah SAW bersabda bahawa puasa pada hari Asyura dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu (Riwayat Muslim)

Namun begitu, umat Islam perlu berhati-hati agar tidak terjebak dengan amalan yang menyimpang daripada ajaran sebenar. Di Malaysia, pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah menjadi teras dan sebarang ritual melampau seperti meratap, menyiksa diri atau mempercayai amalan tanpa sandaran syarak adalah bertentangan dengan Islam. Sambutan Asyura sepatutnya diisi dengan ibadah seperti puasa (10 Muharam atau digandingkan dengan 9 atau 11), memperbanyakkan zikir dan bersedekah, bukan dengan amalan yang tidak bersumberkan sunnah.

Justeru itu, jadikan 10 Muharam sebagai titik muhasabah diri. Rebut peluang untuk memperbaiki hubungan dengan Allah SWT, memperkukuh iman dan meninggalkan perkara sia-sia. Kepada seluruh umat Islam, jangan sekadar mengetahui kelebihan hari ini, tetapi hayatilah dengan amalan yang sahih dan berpandukan ilmu. Jangan biarkan kejahilan atau ikut-ikutan merosakkan nilai sebenar ibadah kita.


Comments