Krisis dan cabaran kehidupan merupakan lumrah yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia. Setiap individu pasti akan berhadapan dengan pelbagai ujian sama ada dalam keluarga, masyarakat mahupun negara. Namun, sebagai umat Islam, kita diajar bahawa setiap permasalahan mempunyai jalan penyelesaian yang perlu dihadapi dengan sabar, hikmah dan kebijaksanaan. Islam tidak mengajar umatnya tenggelam dalam kemarahan atau saling menyalahkan, sebaliknya mendidik manusia supaya mencari jalan damai dan membina keharmonian dalam kehidupan.
Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW menjadi panduan utama dalam mendidik umat agar mendamaikan keadaan, mempermudah urusan dan menyelesaikan masalah dengan cara terbaik. Rasulullah SAW bersabda:
“Permudahkanlah dan jangan kamu menyusahkan, berilah khabar gembira dan jangan membuat orang lari.” (HR Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan bahawa pendekatan Islam ialah membawa ketenangan dan harapan kepada masyarakat, bukannya menambahkan tekanan atau kekeliruan. Sikap suka mempersulitkan keadaan hanya akan menjauhkan manusia daripada nilai kasih sayang dan persaudaraan yang dianjurkan Islam.
Dalam konteks kehidupan bernegara, budaya mencari solusi amat penting bagi membina perpaduan dan kestabilan masyarakat. Perbezaan pandangan politik atau ideologi tidak seharusnya menjadi sebab untuk rakyat saling bermusuhan, menghina atau memecahbelahkan masyarakat. Islam mengajar bahawa perselisihan perlu diurus dengan adab dan akhlak yang baik. Setiap pihak sewajarnya mengutamakan kepentingan rakyat serta keamanan negara berbanding kepentingan diri atau kelompok tertentu.
Rasulullah SAW sendiri menunjukkan contoh terbaik dalam menangani krisis dan konflik. Baginda tidak bertindak secara terburu-buru atau dipengaruhi emosi ketika berhadapan dengan sesuatu masalah. Sebaliknya, Baginda akan mendengar pandangan pelbagai pihak, menilai keadaan semasa, melihat kesan jangka panjang dan bertindak penuh hikmah. Pendekatan ini membuktikan bahawa kebijaksanaan dan ketenangan adalah kunci utama dalam menyelesaikan sesuatu krisis. Sikap terburu-buru serta dipengaruhi kemarahan sering kali hanya akan memburukkan lagi keadaan.
Justeru, umat Islam perlu menghayati bahawa Islam bukan sekadar agama yang mengkritik, tetapi agama yang membawa penyelesaian kepada manusia. Setiap Muslim perlu memainkan peranan sebagai pembawa kedamaian dan bukan penyebar kekusutan dalam masyarakat. Budaya mencari solusi, berdialog secara matang dan saling menghormati perlu diperkasakan demi melahirkan masyarakat yang harmoni serta diberkati Allah SWT. Dengan menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan, umat Islam mampu menghadapi setiap cabaran dengan penuh hikmah dan krisis dengan penuh berwibawa.
Sumber: Facebook Dr. Izhar Ariff
Comments
Post a Comment