JAUHILAH SIFAT ZALIM, KEJI DAN BAKHIL


JAUHILAH SIFAT ZALIM, KEJI DAN BAKHIL

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: 

"Janganlah kalian berbuat zalim, kerana kezaliman akan menjadi kegelapan pada hari kiamat di sisi Allah, janganlah berbuat keji kerana Allah tidak suka kekejian dan perbuatan keji, janganlah bersifat bakhil, kerana sifat itu yang telah membinasakan orang-orang sebelum kalian..." (HR Ahmad). 

Hadis ini mengandungi peringatan yang sangat besar kepada umat Islam agar menjauhi tiga sifat yang merosakkan kehidupan manusia, iaitu zalim, keji dan bakhil. Ketiga-tiga sifat ini bukan sahaja mengundang kemurkaan Allah SWT, malah menjadi punca keruntuhan individu, keluarga dan masyarakat.

Islam melarang umatnya melakukan kezaliman sama ada terhadap diri sendiri mahupun orang lain. Kezaliman bermaksud meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya atau menafikan hak yang sepatutnya diberikan. Antara bentuk kezaliman ialah meninggalkan solat, mencuri, menindas, mengambil hak orang lain, tidak berlaku adil dan menyakiti sesama manusia. Allah SWT berfirman: 

"Sesungguhnya syirik adalah suatu kezaliman yang sangat besar." (QS Luqman: 13). 

Ayat ini menjelaskan bahawa syirik merupakan kezaliman yang paling besar kerana ia mencabuli hak Allah SWT sebagai Tuhan Yang Maha Esa.

Selain itu, Allah SWT juga membenci perbuatan keji dan akhlak yang buruk. Seorang Muslim dituntut menjaga lidah daripada mengeluarkan kata-kata kesat, mencaci, menghina dan memalukan orang lain. Allah SWT berfirman: 

"Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku supaya mereka berkata dengan perkataan yang lebih baik." (QS al-Isra': 53).

 Rasulullah SAW juga bersabda: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam." (HR al-Bukhari dan Muslim). 

Akhlak yang mulia menjadi asas kepada perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat Islam.

Sifat bakhil dan tamak pula berpunca daripada kecintaan yang berlebihan terhadap dunia dan harta benda. Orang yang bakhil sering mengutamakan kepentingan diri sehingga sanggup mengabaikan hak orang lain. Allah SWT memberi amaran:

"Dan janganlah orang-orang yang bakhil dengan apa yang Allah kurniakan kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Bahkan ia buruk bagi mereka." (QSAli 'Imran: 180). 

Sifat bakhil boleh mendorong seseorang memperoleh harta melalui cara yang haram, memutuskan hubungan silaturahim dan melakukan kezaliman demi memenuhi nafsu serta ketamakan diri.

Hakikatnya, kehancuran sesuatu umat bukan semata-mata kerana kelemahan ekonomi atau kekurangan kekuatan fizikal, tetapi kerana rosaknya hati dan akhlak. Rasulullah SAW mendidik umat Islam agar membina kehidupan atas asas keadilan, akhlak mulia, kasih sayang dan pengawalan hawa nafsu. Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, berbuat ihsan dan memberi bantuan kepada kaum kerabat, serta melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan kezaliman." (QS al-Nahl: 90). 

Justeru, marilah kita bersama-sama menjauhi sifat zalim, keji dan bakhil agar mendapat keredaan Allah SWT serta keselamatan di dunia dan akhirat.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments