JUJURLAH DALAM MELAKSANAKAN AMANAH KERJA
JANGAN SESEKALI BERKHIANAT
Dalam Islam, amanah dalam pekerjaan merupakan tanggungjawab besar yang bukan sahaja dinilai oleh manusia, bahkan akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Setiap pekerja yang dilantik dan menerima gaji daripada majikan wajib melaksanakan tugas dengan jujur, ikhlas dan penuh tanggungjawab. Rezeki yang diperoleh hasil daripada kerja yang dilakukan dengan amanah adalah bersih, halal serta membawa keberkatan dalam kehidupan. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya…” (QS An – Nisa’: 58).
Sebaliknya, mengambil sesuatu yang bukan hak dalam pekerjaan adalah satu bentuk pengkhianatan yang ditegah keras dalam Islam. Menerima gaji tetapi culas bekerja, ponteng tugas, curi tulang atau sengaja melengah-lengahkan amanah termasuk dalam perbuatan khianat. Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya.” (HR Bukhari).
Pengkhianatan dalam pekerjaan juga boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti menerima komisyen tersembunyi, tuntutan palsu, rebat, hadiah, projek, jawatan atau apa sahaja habuan yang tidak diizinkan. Walaupun kelihatan kecil di mata manusia, ia tetap dianggap haram jika diperoleh secara tidak benar. Islam menolak budaya salah guna kuasa kerana ia merosakkan integriti individu dan organisasi. Allah SWT berfirman dalam surah al – Baqarah, ayat 188 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil.”
Mereka yang hidup dengan hasil pengkhianatan sebenarnya sedang menghancurkan keberkatan hidup mereka sendiri. Harta yang haram tidak akan membawa ketenangan, malah boleh menjadi punca hati menjadi keras dan jauh daripada kebaikan. Ini seperti sebuah hadis Rasulullah SAW:
“Setiap daging yang tumbuh daripada sumber yang haram, maka neraka lebih utama baginya.” (HR Muslim).
Dalam membina masyarakat dan negara yang harmoni, setiap pekerja dan pemimpin perlu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh kejujuran. Sesebuah organisasi hanya akan maju jika dipimpin oleh individu yang amanah, telus dan bertanggungjawab. Budaya kerja yang bersih mampu melahirkan suasana kerja yang sihat, meningkatkan kepercayaan masyarakat serta mengangkat martabat institusi dan negara. Jadilah seorang pekerja yang takut kepada Allah SWT dan sentiasa menjaga amanah yang dipikul. Jangan sesekali mengkhianati tanggungjawab demi keuntungan sementara yang akhirnya membawa kerugian besar di dunia dan akhirat.
Sumber: Portal Dr. Zulkifli Al - Bakri

Comments
Post a Comment