KEPULANGAN JASLINDA - DARI DOA KE KEAJAIBAN

 


Kepulangan Jaslinda selepas 15 hari sesat di dalam hutan bukan sekadar sebuah berita, tetapi satu kisah yang menyentuh hati tentang kekuatan doa dan harapan. Dalam tempoh yang penuh ketidakpastian itu, ramai yang tidak mengenalinya secara peribadi tetap mengangkat tangan, menitipkan doa agar dia ditemukan dalam keadaan selamat. Inilah bukti bahawa doa adalah senjata orang beriman, senjata yang tidak terlihat tetapi mampu menggerakkan keajaiban dengan izin Allah SWT.

Di saat usaha mencari dilakukan tanpa henti, jelas terpancar satu hakikat penting bahawa kebergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT. Dalam situasi genting, manusia hanya mampu berusaha, tetapi penentuan akhirnya tetap di tanganNya. Kisah ini mengajar kita bahawa setinggi mana pun teknologi dan kepakaran, doa dan tawakal tetap menjadi asas utama dalam menghadapi ujian kehidupan.

Lebih mengharukan, semangat ‘survival’ atau kelangsungan hidup Jaslinda sendiri serta dedikasi pasukan SAR yang bertungkus-lumus mencarinya mencerminkan nilai kemanusiaan yang tinggi. Mereka bukan sekadar menjalankan tugas, tetapi membawa bersama harapan seluruh rakyat Malaysia. Kisah ini menjadi peringatan bahawa dalam dunia yang sering dipenuhi cabaran, masih ada sinar kemanusiaan, keikhlasan dan kekuatan iman yang menyatukan kita semua.


Comments