Kejayaan Tabung Haji (TH) menerima Anugerah Pengurusan Haji Terbaik Dunia menerusi Anugerah Labaytum 2026 daripada Kerajaan Arab Saudi merupakan satu pengiktirafan yang amat membanggakan buat Malaysia. Pencapaian ini membuktikan bahawa pengurusan ibadah yang tersusun, sistematik dan berteraskan nilai Islam mampu meletakkan negara pada kedudukan yang dihormati di peringkat antarabangsa. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Mulk ayat 2:
"Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya."
Ayat ini mengingatkan bahawa kecemerlangan sebenar bukan sekadar pada hasil, tetapi pada kesungguhan melaksanakan amanah dengan sebaik-baiknya.
Pengiktirafan Diamond Award yang diterima oleh TH berdasarkan penilaian menyeluruh melibatkan operasi, teknologi, perkhidmatan kesihatan, logistik, bimbingan ibadah dan tahap kepuasan jemaah melebihi 95 peratus menunjukkan bahawa Islam amat menitikberatkan aspek profesionalisme dan kualiti dalam setiap urusan. Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah menyukai apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan penuh ketelitian dan kesempurnaan." (HR al-Baihaqi).
Hadis ini menjadi asas bahawa kecemerlangan dalam perkhidmatan adalah sebahagian daripada tuntutan agama.
Kejayaan ini juga tidak akan tercapai tanpa disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh para jemaah haji Malaysia. Sikap sentiasa mematuhi arahan, menjaga adab dan bekerjasama dengan petugas telah menjadikan mereka contoh terbaik kepada umat Islam dari seluruh dunia. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hujurat ayat 13 menyebut:
"Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa."
Ketakwaan bukan hanya dizahirkan melalui ibadah semata-mata, tetapi turut terpancar melalui akhlak, disiplin dan rasa hormat terhadap orang lain.
Ibadah haji merupakan madrasah tarbiah yang mendidik umat Islam supaya menjadi insan yang lebih sabar, berdisiplin dan berakhlak mulia. Apabila seseorang benar-benar menjaga ibadahnya, maka akhlaknya juga akan terpelihara. Sabda Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia." (HR Ahmad).
Justeru, kejayaan jemaah Malaysia mengekalkan imej yang baik sepanjang musim haji membuktikan bahawa penghayatan ibadah yang benar mampu membentuk peribadi yang unggul.
Hakikatnya, apabila kita memberi contoh yang baik, hasilnya juga akan menjadi baik. Kejayaan Malaysia dalam pengurusan haji bukan sekadar kemenangan sebuah institusi, tetapi kemenangan nilai-nilai Islam yang menekankan amanah, disiplin, kerjasama dan akhlak mulia. Semoga pengiktirafan ini menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus memelihara ibadah, memperbaiki akhlak dan mengangkat nama negara dengan menunjukkan teladan yang terbaik, selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Ankabut ayat 69:
"Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh pada jalan Kami, pasti Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami."
Sumber: Facebook Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Comments
Post a Comment