Islam adalah agama yang mengangkat nilai rahmah, hikmah dan kasih sayang dalam setiap aspek kehidupan termasuk dalam mendidik anak serta murid. Seorang pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu, bahkan membentuk akhlak dengan kelembutan, nasihat yang baik dan teguran yang membina. Allah SWT berfirman:
"Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik..." (Surah an-Nahl: 125).
Ayat ini menjadi panduan bahawa pendekatan terbaik dalam pendidikan ialah dengan kebijaksanaan, bukannya kemarahan yang dikuasai emosi.
Islam tidak menolak ketegasan dalam mendidik, namun ia hanya menjadi pilihan terakhir selepas segala usaha nasihat, bimbingan dan peringatan dilakukan. Konsep lit-ta'dib bertujuan mendidik adab, bukannya melepaskan kemarahan atau menghukum secara melampau. Rasulullah SAW bersabda:
"Perintahkanlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (sebagai pendidikan) apabila mereka berumur sepuluh tahun jika mereka meninggalkannya, serta pisahkan tempat tidur mereka." (HR Abu Daud).
Hadis ini menunjukkan bahawa tindakan fizikal hanya datang selepas proses pendidikan yang panjang dan dalam batas syarak.
Syarak juga menetapkan garis panduan yang jelas apabila berlaku tindakan disiplin. Rasulullah SAW melarang memukul wajah kerana wajah merupakan anggota yang dimuliakan Allah SWT. Baginda bersabda:
"Apabila salah seorang daripada kamu memukul, maka hendaklah dia menjauhi wajah." (HR Bukhari dan Muslim).
Oleh itu, sama sekali tidak dibenarkan memukul bahagian muka atau melakukan kekerasan yang mendatangkan kecederaan, penghinaan atau mudarat. Bahkan para ulama turut menjelaskan bahawa hukuman yang tidak membawa manfaat pendidikan adalah haram kerana bertentangan dengan tujuan syariat.
Realitinya, isu kekerasan bukan hanya berlaku di sekolah, malah turut berlaku dalam institusi keluarga dan masyarakat. Meniru budaya kasar tanpa panduan agama hanya akan melahirkan generasi yang membesar dalam ketakutan, dendam dan hilangnya adab. Rasulullah SAW sendiri merupakan contoh terbaik dalam mendidik dengan penuh kelembutan. Saidatina Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah memukul sesiapa dengan tangannya kecuali ketika berjihad di jalan Allah. Baginda juga bersabda:
"Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut dan Dia menyukai kelembutan dalam setiap urusan." (HR Bukhari dan Muslim).
Justeru, pendidikan yang diberkati ialah pendidikan yang dipenuhi rahmah dan dipandu hikmah. Ketegasan perlu disertai keadilan, manakala hukuman mestilah bertujuan membina, bukan menghina. Allah SWT berfirman:
"Maka dengan sebab rahmat daripada Allah engkau berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras lagi berhati kasar, nescaya mereka akan lari dari sekelilingmu." (QS Ali 'Imran: 159).
Semoga setiap ibu bapa, guru dan pendidik menjadikan Rasulullah SAW sebagai teladan, mendidik dengan kasih sayang, menghukum dengan hikmah, serta melahirkan generasi yang berilmu, beradab dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments
Post a Comment