Bulan Muharam merupakan salah satu daripada bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT. Ia termasuk dalam empat bulan haram yang disebut di dalam al-Quran, iaitu bulan-bulan yang mempunyai kelebihan dan kemuliaan tersendiri di sisi Allah. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan... antaranya empat bulan yang dihormati.” (QS At-Taubah: 36).
Kehadiran Muharam bukan sekadar menandakan permulaan tahun baharu Hijrah, bahkan menjadi peluang terbaik untuk setiap Muslim melakukan muhasabah dan memperbaharui azam dalam meningkatkan keimanan serta ketakwaan kepada Allah SWT.
Rasulullah SAW juga mengangkat kedudukan bulan Muharam sebagai bulan yang penuh dengan keberkatan. Baginda bersabda:
“Puasa yang paling utama selepas puasa Ramadan ialah puasa pada bulan Allah, iaitu Muharam.” (HR Muslim).
Hadis ini menunjukkan bahawa Muharam adalah bulan yang sangat digalakkan untuk memperbanyakkan ibadah, khususnya berpuasa sunat. Amalan-amalan soleh yang dilakukan dalam bulan ini menjadi medan latihan untuk mendidik jiwa agar lebih dekat kepada Allah SWT dan lebih istiqamah dalam melaksanakan perintahNya.
Selain memperbanyakkan ibadah, Muharam juga mengajar umat Islam untuk memperbaiki diri dan meninggalkan segala bentuk kemaksiatan. Tahun baharu Hijrah seharusnya menjadi titik perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik.
Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (QS Ar-Ra’d: 11).
Ayat ini menegaskan bahawa perubahan yang positif bermula daripada kesedaran dan usaha individu untuk memperbaiki kelemahan serta meningkatkan amal kebajikan.
Dalam usaha menjadi Muslim yang lebih sempurna, setiap individu perlu menanam sifat taubat, keikhlasan dan kesungguhan dalam beramal. Sabda Rasulullah SAW: “Setiap anak Adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan ialah mereka yang bertaubat.”
(HR al-Tirmizi).
Muharam memberi ruang kepada kita untuk kembali kepada fitrah, memohon keampunan atas dosa-dosa yang lalu serta memperbaharui hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia.
Justeru, marilah kita menjadikan bulan Muharam sebagai bulan segala kebaikan dengan memperbanyakkan amal ibadah, memperkukuhkan akhlak dan meningkatkan ketakwaan. Janganlah tahun baharu Hijrah berlalu tanpa sebarang perubahan dalam diri. Sebaliknya, jadikan Muharam sebagai permulaan kepada perjalanan menuju keredaan Allah SWT dan pembentukan peribadi Muslim yang lebih sempurna, berilmu, berakhlak mulia serta sentiasa berusaha mendekatkan diri kepadaNya.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Comments
Post a Comment