Bulan Muharam merupakan antara bulan suci dalam Islam yang dimuliakan oleh Allah SWT seiring dengan seruan untuk memperbanyakkan amalan ibadah seperti puasa, zikir dan taubat. Namun, saban tahun kita menyaksikan sebahagian kelompok Syiah meraikannya dengan cara yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.
Antara ritual yang sering dipaparkan termasuk mencederakan diri sendiri hingga berdarah, perarakan membawa keranda berisi patung yang digambarkan sebagai Hussein ibn Ali serta upacara berjalan dalam keadaan leher, tangan dan kaki dirantai.
Lebih membimbangkan ialah amalan ‘tatbir’ iaitu perbuatan melukai kepala atau tubuh dengan senjata tajam sebagai tanda kononnya kesedihan terhadap peristiwa Karbala. Hakikatnya, Islam sama sekali tidak mengajar umatnya untuk menyakiti diri sendiri apatah lagi menjadikan perbuatan tersebut sebagai ibadah. Nabi Muhammad SAW sendiri melarang segala bentuk keterlaluan dalam beragama (ghuluw), termasuk meratap secara ekstrem atau mencederakan diri. Bahkan, tindakan seperti ini bertentangan dengan prinsip menjaga nyawa (hifz al-nafs) yang menjadi salah satu maqasid utama dalam syariat Islam.
Seharusnya, bulan Muharam dihayati dengan penuh kesederhanaan dan ketaatan, bukan dengan ritual yang bercanggah dengan syariat. Umat Islam diseru untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Kesedaran ini penting agar kita tidak terikut-ikut dengan amalan yang menyimpang dan boleh merosakkan akidah. Muharam adalah bulan kemuliaan, bukan pentas untuk memperagakan kesedihan secara melampau. Kembalilah kepada ajaran yang murni, agar ibadah kita diterima dan diberkati.

Comments
Post a Comment