Fenomena kandungan di media sosial hari ini semakin membimbangkan apabila wujud trend video yang memaparkan perbuatan tidak senonoh, gurauan berunsur lucah serta gaya hidup bebas antara lelaki dan perempuan tanpa batas.
Dalam video yang tular di platform seperti TikTok baru-baru ini, kelihatan individu seolah-olah menjadikan perkara tersebut sebagai hiburan, malah dirakam dan dikongsi secara terbuka untuk tontonan umum. Lebih membimbangkan, reaksi netizen yang menganggapnya lucu dan “content biasa” menunjukkan berlakunya normalisasi terhadap perkara yang jelas bercanggah dengan adab dan ajaran Islam.
Sebagai umat Islam, kita perlu sedar bahawa setiap tontonan memberi kesan kepada hati dan pemikiran. Apabila seseorang terlalu kerap terdedah kepada perkara yang melanggar syariat, ia boleh menghakis sensitiviti terhadap dosa. Lama-kelamaan hati menjadi keras dan tidak lagi rasa bersalah apabila melakukan perkara yang sama. Inilah antara strategi halus yang boleh merosakkan akhlak generasi yang bermula dengan tontonan kemudian menjadi ikutan.
Justeru itu, penting untuk kita menapis apa yang kita lihat dan sebarkan. Jadilah pengguna media sosial yang berprinsip, bukan sekadar mengikut arus. Ingatlah bahawa setiap klik, ‘like’ dan ‘share’ akan dipersoalkan. Gunakan platform yang ada untuk menyebarkan kebaikan, bukan menyumbang kepada kerosakan. Kesedaran ini perlu dipupuk agar umat Islam kekal teguh dengan nilai dan tidak hanyut dalam gelombang normalisasi maksiat.
Comments
Post a Comment