PERJANJIAN ABRAHAM: STRATEGI HALUS AS PECAHBELAHKAN DUNIA ISLAM


Desakan agar negara-negara Islam bersatu menentang hegemoni Amerika Syarikat bukanlah sekadar retorik, tetapi mencerminkan realiti geopolitik semasa yang semakin membimbangkan. Campur tangan kuasa besar dalam urusan dunia Islam, sama ada melalui tekanan diplomatik, ekonomi mahupun politik menunjukkan wujudnya usaha berterusan untuk mempengaruhi hala tuju dan pendirian negara-negara Islam di pentas global.

Antara contoh paling ketara ialah Perjanjian Abraham yang dipelopori oleh AS menyaksikan desakan terhadap negara-negara Islam seperti Arab Saudi, Qatar, Pakistan, Turkiye, Mesir dan Jordan untuk mengiktiraf Israel sebagai syarat penyelesaian konflik dengan Iran. Perjanjian ini dilihat bukan sebagai jalan damai, tetapi strategi geopolitik yang menguntungkan Israel dan melemahkan solidariti umat Islam.

Hakikatnya, pendekatan AS ini mencerminkan satu bentuk hegemoni moden dengan menggunakan tekanan diplomatik dan kepentingan ekonomi untuk memecahbelahkan negara Islam. Apabila sebahagian negara memilih untuk berkompromi, kesatuan ummah menjadi semakin rapuh, sekaligus memberi ruang kepada kuasa luar untuk terus mendominasi naratif dan dasar global.

Justeru itu, negara Islam termasuk Malaysia perlu kekal tegas dan berprinsip dalam mempertahankan isu Palestin atau isu berkait negara Islam serta menolak sebarang bentuk normalisasi yang menggadaikan keadilan. Penyatuan politik, ekonomi dan suara umat Islam adalah kunci untuk menentang pengaruh luar. Tanpa kesatuan, dunia Islam akan terus menjadi medan percaturan kuasa besar.

Sumber: Sinar Harian – 26 MEI 2026

Comments