Daripada Anas B. Malik RA. Beliau berkata:
“Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu berdiri untuk kencing didalam masjid. Para sahabat Rasulullah SAW ingin mengertaknya, tetapi Rasulullah SAW bersabda:
“Janganlah kamu memutuskannya, biarkan dia selesai kencing terlebih dahulu.” Maka mereka (para sahabat) membiarkan orang tersebut sehingga dia selesai kencing. Setelah itu, Rasulullah SAW memanggil dan menasihatinya, “Sesungguhnya masjid ini tidak boleh digunakan untuk kencing dan membuat kotor, masjid adalah tempat untuk zikir, solat, dan membaca al-Quran.” Atau sebagaimana sabda Nabi SAW yang sesuai. Setelah itu, Nabi SAW memerintahkan seorang sahabat untuk mengambil satu baldi air dan menyiram keatas kencingnya.” (HR Muslim).
Islam adalah agama yang dibina atas dasar rahmat, hikmah dan kasih sayang. Salah satu contoh terbaik yang menunjukkan keindahan akhlak Islam ialah kisah seorang Arab Badwi yang kencing di dalam masjid ketika Rasulullah SAW sedang bersama para sahabat. Perbuatan tersebut sememangnya satu kesalahan yang besar kerana masjid merupakan tempat yang suci dan wajib dipelihara kebersihan serta kesuciannya.
Namun begitu, Rasulullah SAW tidak terus memarahi atau mengherdik lelaki tersebut, bahkan Baginda memerintahkan para sahabat supaya membiarkannya sehingga selesai. Sikap ini menunjukkan kebijaksanaan dan rahmat yang luar biasa dalam mendidik manusia.
Masjid merupakan rumah Allah SWT yang dikhususkan untuk beribadah kepadaNya. Allah SWT berfirman:
“Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah untuk Allah, maka janganlah kamu menyeru dan menyembah sesiapa pun bersama Allah.” (QS Al-Jin: 18).
Justeru, masjid hendaklah dimakmurkan dengan zikir, solat, bacaan al-Quran serta majlis ilmu yang mendekatkan manusia kepada Allah SWT. Menjaga kebersihan masjid juga merupakan sebahagian daripada adab dan tanggungjawab setiap Muslim agar kesuciannya sentiasa terpelihara.
Peristiwa ini turut mengajar umat Islam tentang pentingnya bersikap lemah-lembut ketika berhadapan dengan orang yang jahil atau tidak mengetahui sesuatu hukum. Rasulullah SAW memahami bahawa Arab Badwi tersebut melakukan kesalahan kerana kejahilannya, bukan kerana sengaja menghina masjid.
Oleh itu, Baginda memilih untuk menasihatinya dengan penuh hikmah selepas dia selesai kencing. Allah SWT sendiri memerintahkan dakwah dilakukan dengan cara yang terbaik sebagaimana firman-Nya:
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik.” (QS Al-Nahl: 125).
Pendekatan yang lembut sering kali lebih berkesan dalam membuka hati manusia berbanding kekasaran dan penghinaan.
Selain itu, hadis ini mengajar kaedah penting dalam syariat Islam iaitu mengelakkan mudarat yang lebih besar. Jika lelaki tersebut dihalang secara tiba-tiba, kemungkinan najis akan tersebar ke kawasan yang lebih luas dalam masjid dan menyebabkan mudarat yang lebih besar. Kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam membuat pertimbangan antara maslahat dan mafsadah menjadi panduan kepada umat Islam dalam menangani pelbagai isu kehidupan. Kita tidak boleh mencegah sesuatu kemungkaran dengan cara yang menimbulkan kemungkaran yang lebih besar atau lebih buruk.
Dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, kita pasti akan bertemu dengan pelbagai ragam manusia yang mempunyai tahap ilmu, kefahaman dan pengalaman yang berbeza. Ada yang melakukan kesilapan kerana kejahilan, dan ada yang tersalah langkah kerana kurang bimbingan. Oleh itu, kita hendaklah mencontohi akhlak Rasulullah SAW dengan mendahulukan hikmah, kesabaran dan kasih sayang dalam menegur serta membimbing mereka. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya Allah itu Maha Lemah-Lembut dan Dia menyukai kelembutan dalam setiap urusan.” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Dengan sifat rahmah dan kebijaksanaan inilah masyarakat akan lebih mudah menerima kebenaran serta hidup dalam suasana yang harmoni dan diberkati Allah SWT.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments
Post a Comment