Isu sosial yang tular di media sosial hari ini bukan lagi perkara kecil, tetapi mencerminkan krisis nilai yang semakin membimbangkan dalam masyarakat. Lebih mengejutkan apabila timbul kes seorang guru yang terlibat dalam perlakuan tidak bermoral berunsur pedofilia merupakan satu pengkhianatan besar terhadap amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh ibu bapa serta masyarakat. Perkongsian kes seperti ini membuka mata bahawa gejala sosial bukan sahaja berlaku dalam kalangan remaja, tetapi turut melibatkan golongan dewasa dan profesional yang sepatutnya menjadi contoh.
Fenomena ini tidak berlaku secara kebetulan. Pengaruh media sosial tanpa kawalan, keruntuhan nilai agama serta lemahnya pemantauan menjadi antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya kes-kes seperti ini. Apabila sempadan moral mula kabur, individu mudah terjerumus ke dalam tingkah laku yang menyimpang tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap mangsa. Lebih membimbangkan, kes sebegini memberi trauma mendalam kepada mangsa dan merosakkan institusi pendidikan yang sepatutnya menjadi tempat selamat.
Justeru itu, kesedaran masyarakat amat penting dalam membendung masalah ini daripada terus merebak. Ibu bapa perlu lebih peka terhadap keselamatan anak-anak, manakala pihak berkuasa dan institusi pendidikan harus memperketatkan pemantauan serta tindakan tegas terhadap pelaku. Gejala sosial seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan masa depan generasi akan datang. Jika kita gagal bertindak hari ini, kita sebenarnya sedang membiarkan kerosakan moral terus berakar dalam masyarakat.
Sumber: https://www.facebook.com/share/p/14f5hyp3tYC/
Comments
Post a Comment