Susulan kenyataan seorang individu yang juga ahli politik yang didakwa menghina sahabat Rasulullah SAW, umat Islam perlu memahami bahawa perjuangan para sahabat dalam membantu Baginda menyebarkan agama Islam merupakan satu pengorbanan yang amat besar. Mereka sanggup meninggalkan harta, keluarga dan kampung halaman demi mempertahankan akidah serta menegakkan syiar Islam. Tanpa kesungguhan dan keikhlasan para sahabat, sudah pasti dakwah Islam tidak akan berkembang luas seperti yang dinikmati oleh umat pada hari ini.
Sahabat Nabi SAW merupakan generasi terbaik dan paling terpuji dalam kalangan manusia. Kemuliaan mereka diangkat sendiri oleh Allah SWT sebagaimana firmanNya dalam Surah at-Taubah ayat 100 yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang mula-mula berhijrah dan memberi bantuan daripada golongan Muhajirin dan Ansar serta orang yang mengikuti mereka dengan kebaikan, Allah reda kepada mereka dan mereka pula reda kepada-Nya.”
Ayat ini jelas membuktikan bahawa para sahabat memiliki kedudukan istimewa di sisi Allah SWT dan dijanjikan ganjaran syurga sebagai balasan atas pengorbanan mereka. Oleh itu, setiap individu perlu berhati-hati dan cermat ketika membicarakan tentang para sahabat Rasulullah SAW. Kajian yang mendalam serta penelitian terhadap sejarah Islam amat penting agar seseorang tidak tergelincir melakukan tohmahan atau penghinaan terhadap mereka. Hal ini kerana para sahabat bukan sekadar tokoh sejarah, bahkan mereka merupakan insan yang dipilih oleh Allah SWT untuk mendampingi Rasulullah SAW dan menyampaikan ajaran Islam kepada generasi selepasnya.
Larangan mencela para sahabat turut ditegaskan sendiri oleh Rasulullah SAW menerusi hadis riwayat Abu Sa’id al-Khudri. Baginda bersabda:
“Janganlah kamu mencela para sahabatku. Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, sekiranya salah seorang daripada kamu menginfakkan emas sebesar Gunung Uhud sekalipun, ia tidak akan dapat menyamai satu mudd sedekah salah seorang daripada mereka, bahkan tidak juga separuh daripadanya.” (HR Abu Daud).
Ini sama sekali jelas menunjukkan betapa tingginya darjat para sahabat di sisi Allah SWT sehingga amalan mereka tidak mampu ditandingi oleh generasi selepas mereka. Selain itu, dalam hadis riwayat Imam Muslim, Rasulullah SAW memuji para sahabat bagai bintang-bintang di langit dan menjadi keamanan bagi umat Baginda. Perumpamaan tersebut membuktikan bahawa Nabi SAW sendiri mengiktiraf kelebihan dan kemuliaan para sahabat.
Walaupun sebelum kedatangan Islam mereka mempunyai kisah kehidupan di zaman jahiliah, namun keislaman dan pengorbanan mereka telah mengangkat martabat mereka di sisi agama. Dalam hal ini, Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) mempunyai prinsip yang jelas bahawa para sahabat ialah insan terpilih yang wajib dihormati dan dipelihara maruah mereka.
Hakikatnya, para sahabat juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Namun, Islam mengajar umatnya supaya berlaku adil dan beradab dalam menilai sejarah serta sirah kehidupan mereka. Nilai ilmu, disiplin dan akhlak perlu diutamakan ketika membincangkan isu berkaitan sahabat Nabi SAW agar tidak terjerumus dalam dosa menghina insan yang dimuliakan Allah SWT.
Justeru, setiap Muslim diperintahkan untuk tidak merendah, mencerca atau menghina para sahabat kerana perbuatan tersebut bukan sahaja haram, bahkan tergolong dalam dosa besar yang boleh merosakkan akidah dan perpaduan umat Islam.
Sumber: Facebook Menjawab Kemusykilan Agama

Comments
Post a Comment