SERBUAN JAIS PECAH TEMBELANG KESESATAN SYIAH DI PETALING JAYA

 


Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) baru-baru ini menggempur sebuah premis di Petaling Jaya yang dipercayai menjalankan aktiviti berunsur Syiah, melibatkan lebih 200 warga asing. Serbuan tersebut dibuat hasil maklumat awam dan dijalankan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 termasuk Seksyen 12(c), 13 dan 16. Tindakan ini membuktikan bahawa gerakan Syiah masih aktif secara terselindung di negara ini walaupun telah lama difatwakan menyeleweng.

Isu ini bukan perkara kecil atau terpencil. Syiah telah diwartakan sebagai ajaran sesat di beberapa negeri termasuk Selangor kerana bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi asas akidah umat Islam di Malaysia. Namun, kewujudannya yang bergerak secara senyap, melalui perjumpaan tertutup atau komuniti tertentu menjadikan ia sukar dikesan jika tiada kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, umat Islam perlu lebih peka dan tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana ajaran yang meragukan. Pastikan setiap ilmu yang dipelajari bersumberkan ajaran yang sahih dan diiktiraf. Jika terdapat aktiviti mencurigakan, segera laporkan. Memelihara akidah adalah tanggungjawab bersama agar umat Islam di Malaysia tidak terpesong daripada landasan sebenar.



Comments