TIDAK HORMAT RUKUN NEGARA - TIDAK LAYAK JADI WARGANEGARA

 

Titah Sultan Ibrahim baru-baru ini menegaskan bahawa individu yang tidak mahu mengikut dan menghayati prinsip Rukun Negara tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia. Baginda menekankan bahawa Rukun Negara bukan sekadar lafaz yang dihafal, tetapi merupakan ikrar dan panduan hidup yang diperkenalkan sejak 1970 untuk membina perpaduan kaum serta menjamin keharmonian negara. 

Kenyataan ini membawa mesej yang sangat jelas bahawa identiti sebagai rakyat Malaysia bukan hanya pada kad pengenalan, tetapi pada sikap dan nilai yang dipegang. Rukun Negara menjadi asas kepada kestabilan negara, tanpa penghayatan terhadap prinsip seperti kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang, maka perpaduan rakyat boleh terhakis. Sejarah seperti tragedi 13 Mei turut menjadi peringatan bahawa kegagalan menjaga keharmonian boleh membawa kesan besar kepada negara. 

Sehubungan itu, rakyat Malaysia perlu muhasabah diri dan kembali menghayati Rukun Negara dalam kehidupan seharian, bukan sekadar di bibir. Kesedaran ini penting bagi memastikan negara terus aman, stabil dan dihormati di peringkat global. Dalam dunia yang semakin mencabar, kekuatan sebenar Malaysia terletak pada perpaduan rakyatnya dan ia bermula dengan kesetiaan kepada prinsip asas negara.


Comments