Isu kesihatan mental dalam kalangan remaja hari ini semakin membimbangkan, namun sering dipandang ringan. Ramai pelajar berdepan tekanan emosi akibat beban pelajaran, konflik rakan sebaya, masalah keluarga dan pengaruh media sosial, tetapi memilih untuk memendam perasaan tanpa saluran yang betul. Dalam diam, tekanan ini boleh bertukar menjadi kemarahan, kebencian atau tindakan luar jangka.
Insiden pelajar menikam rakan sekolah di Banting baru-baru ini menjadi contoh jelas bagaimana emosi yang tidak terkawal boleh membawa kepada tindakan agresif. Walaupun motif sebenar masih disiasat, kejadian ini membuka mata bahawa ada “jeritan senyap” dalam diri remaja yang gagal difahami oleh orang sekeliling. Apa yang kelihatan biasa di luar, belum tentu mencerminkan apa yang sedang bergelora di dalam.
Justeru itu, semua pihak perlu lebih peka terhadap perubahan emosi remaja. Ibu bapa dan guru harus menjadi tempat selamat untuk mereka meluahkan perasaan, bukan sekadar menilai prestasi. Masyarakat juga perlu membuang stigma terhadap isu kesihatan mental agar remaja berani mendapatkan bantuan. Jika tidak ditangani dengan bijak, tekanan yang dipendam hari ini boleh menjadi tragedi yang kita kesali esok. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” (Surah Ar-Ra’d: 11).

Comments
Post a Comment