Baru-baru ini, tular satu kes di Paroi, Negeri Sembilan melibatkan individu yang mendakwa dirinya sebagai perawat Islam, namun dipercayai telah mencabul pesakit-pesakit wanita ketika sesi rawatan. Lebih menyedihkan, kepercayaan dan harapan pesakit yang datang untuk mendapatkan ikhtiar penyembuhan telah dikhianati dengan perlakuan jijik yang langsung tidak mencerminkan ajaran Islam sebenar. Kes seperti ini bukan sahaja jenayah, malah satu pengkhianatan terhadap agama yang suci.
Islam tidak pernah menghalalkan sebarang bentuk sentuhan atau perlakuan yang melanggar batas syariat, apatah lagi dengan alasan “rawatan”. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat ihsan, dan melarang daripada perbuatan keji dan mungkar…” (Surah An-Nahl, 16:90). Ayat ini jelas menunjukkan bahawa segala bentuk pencabulan adalah perbuatan keji yang wajib dicegah dan ditolak, walaupun ia berselindung di sebalik nama agama.
Justeru itu, umat Islam perlu lebih berhati-hati dan tidak mudah menyerahkan diri kepada mana-mana individu tanpa menyemak latar belakang serta kaedah rawatan yang digunakan. Elakkan berdua-duaan, pastikan ada mahram atau individu dipercayai ketika mendapatkan rawatan dan segera laporkan jika berlaku sebarang salah laku. Jangan biarkan agama terus diperalatkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab kerana menjaga akidah, maruah dan keselamatan adalah tanggungjawab kita bersama.

Comments
Post a Comment