Masih ramai yang memandang ringan isu “anxiety”, seolah-olah ia sekadar “drama” atau alasan untuk lemah. Inilah kesilapan paling besar dalam cara kita berinteraksi. Dalam satu perkongsian “podcast” bersama Syeikh Nik Bakri, ditegaskan bahawa kita tidak boleh menafikan apa yang seseorang itu rasa. Ungkapan seperti “ala anxiety je pun” atau “ni mesti tak baca al-Quran” bukan membantu, malah ia menambah luka. Hakikatnya, kita tidak berada di tempat mereka. Islam mengajar kita untuk menjaga lidah, sebagaimana sabda Nabi SAW: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Riwayat al- Bukhari).
Agama bukan datang untuk menghukum manusia yang sedang lemah, tetapi untuk membimbing dan menyembuhkan. Syeikh menegaskan bahawa iman itu letaknya pada hati iaitu tempat lahirnya rasa. Maka, bagaimana kita boleh menafikan sesuatu yang jelas dirasai oleh seseorang? Setiap manusia diuji dengan cara yang berbeza, dan kita tidak berhak merendahkan ujian orang lain. Firman Allah SWT: “Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya” (Surah Al-Baqarah: 286).
Jika kita benar-benar mahu membantu, berhentilah menghukum dan mulakan dengan memahami. Belajar mendengar tanpa memotong, tanpa membandingkan, tanpa meremehkan. Bagi yang sedang bergelut, jangan menafikan apa yang anda rasa. Akui, hadapi dan luahkan dengan cara yang sihat. Tarik nafas, tenangkan diri dan cari sokongan yang betul. Dunia ini sudah cukup keras, jangan kita tambah keras dengan kata-kata kita. Jadilah manusia yang menghadirkan tenang, bukan menambah beban.

Comments
Post a Comment