Cubaan seorang pengguna Facebook mempersoalkan keperluan sertu terhadap bekas masakan yang pernah digunakan untuk babi jelas menunjukkan sikap mempermainkan hukum Islam. Isu ini bukan perkara baru, malah telah lama diputuskan dalam fiqh sebagai najis berat yang memerlukan kaedah penyucian tertentu. Namun, apabila ada yang cuba ‘ringankan’ hukum ini atas alasan praktikal atau kononnya relevan dengan zaman, ia sebenarnya membuka ruang kepada tafsiran agama ikut selera sendiri.
Inilah bahaya pemikiran liberal dalam agama. Apabila akal dijadikan hakim utama, syariat pula dikatakan tidak menepati citarasa. Hukum yang jelas mula dipersoal, yang haram cuba dinormalisasi dan yang wajib dipermudah sesuka hati. Lebih membimbangkan, kenyataan sebegini mudah mempengaruhi masyarakat awam yang mungkin tidak mendalami ilmu agama, lalu tanpa sedar terikut dengan fahaman yang menyimpang.
Umat Islam perlu tegas dalam menjaga batas syariat. Agama ini bukan untuk diubah mengikut kehendak manusia, tetapi untuk dipatuhi sebagaimana yang telah ditetapkan. Firman Allah SWT: “Maka bertanyalah kepada orang yang berilmu jika kamu tidak mengetahui” (Surah An-Nahl: 43). Jangan biarkan kekeliruan seperti ini menjadi normal kerana bila hukum mula dipermain, yang tergadai akhirnya adalah akidah dan pegangan kita sendiri.

Comments
Post a Comment