Isu liberalisme di Malaysia sering dilihat bertentangan dengan prinsip Islam kerana ia meletakkan kebebasan individu dan akal manusia mengatasi ketetapan wahyu serta syariat. Dalam acuan tempatan, fahaman liberal yang memperjuangkan pluralisme agama, penafsiran semula teks suci mengikut logik moden dan kebebasan moral didapati bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pegangan arus perdana menegaskan bahawa hak kebebasan manusia di dalam Islam mempunyai batasan tersendiri yang bertujuan untuk menjaga kemaslahatan ummah, kesucian agama serta keharmonian masyarakat secara menyeluruh.
Hal ini ada disebut dalam Surah Al-Jasiyah ayat 18 yang bermaksud: "Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari urusan agama itu; maka turutlah syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui." Jadi bila ada yang mula tuntut kebebasan mutlak seperti halalkan cara hidup bebas atau samakan semua agama, ia sebenarnya sudah mula merosakkan akidah dan pegangan suci umat Islam di Malaysia.
Dari sudut pentadbiran negara pula, ideologi liberalisme bertentangan dengan status Islam sebagai Agama Persekutuan yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Struktur perundangan Malaysia memperuntukkan kuasa khusus kepada Mahkamah Syariah dan institusi agama negeri untuk mengawal selia hal ehwal umat Islam, termasuk menyekat penyebaran doktrin yang menyeleweng. Oleh itu, pentadbiran negara bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan undang-undang ini daripada sebarang tuntutan liberal yang cuba mengetepikan institusi raja-raja dan kuasa agama tempatan.
Secara keseluruhannya, keengganan Malaysia untuk menerima pakai liberalisme mutlak adalah demi mengekalkan kestabilan sosial, keselamatan negara dan identiti tanah air. Kebanyakan fatwa negeri secara rasmi telah mewartakan liberalisme dan pluralisme agama sebagai fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar. Melalui pendekatan yang tegas ini, pihak berkuasa dan kerajaan dapat memastikan pengurusan kepelbagaian kaum di Malaysia kekal harmoni tanpa menggadaikan nilai-nilai murni ketimuran serta paksi keagamaan yang menjadi teras negara.

Comments
Post a Comment