DUIT LESAP SEKELIP MATA: TAKTIK “SCAM” SEMAKIN BAHAYA

 

Isu penipuan kewangan atau “scam” semakin membimbangkan apabila pendekatan tradisional seperti ceramah dan papan iklan dilihat tidak lagi berkesan untuk mendidik masyarakat. Menurut Ketua Polis Kelantan, penjenayah kini semakin bijak menggunakan teknologi dan memainkan emosi mangsa, menjadikan taktik lama kurang memberi impak. Dalam era digital, penipuan bukan sahaja berlaku secara fizikal, malah banyak beralih ke platform dalam talian yang lebih sukar dikesan jika pengguna tidak peka.

Penipuan ini melibatkan pelbagai taktik licik untuk mendapatkan wang secara tidak sah. Antara contoh yang sering berlaku termasuk scam panggilan telefon (Macau Scam), pelaburan palsu, “love scam”, penipuan pembelian dalam talian serta penyamaran sebagai pegawai bank atau agensi kerajaan. Sebagai contoh terkini yang menggemparkan, mangsa diperdaya melalui pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan tinggi. Pada awalnya ditunjukkan keuntungan, namun akhirnya wang ratusan ribu ringgit lesap begitu sahaja. Kes seperti ini menyumbang kepada kerugian berbilion ringgit di Malaysia.

Sehubungan itu, pendekatan baharu perlu diberi penekanan seperti kempen kesedaran melalui media sosial, pendidikan literasi digital, serta penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas. Masyarakat juga perlu mengamalkan sikap “tabayyun” atau menyemak kesahihan maklumat sebelum bertindak, terutamanya apabila melibatkan urusan kewangan. Tanpa kesedaran dan kewaspadaan, risiko menjadi mangsa “scam” akan terus meningkat dalam kalangan semua lapisan masyarakat.


Comments