Isu tular berkaitan segelintir golongan feminis berfikiran liberal yang mempertikaikan peranan dan keperibadian Rasulullah SAW, termasuk dakwaan melampau kononnya Baginda “gagal sebagai suami”, merupakan satu bentuk pemikiran yang sangat berbahaya kepada akidah umat Islam. Pandangan seperti ini lahir daripada kefahaman yang terpisah daripada disiplin ilmu Islam sebenar, sebaliknya dipengaruhi ideologi Barat yang meletakkan akal dan nafsu sebagai neraca mutlak tanpa berpandukan wahyu. Dalam Islam, Rasulullah SAW bukan sekadar pemimpin, malah contoh terbaik dalam semua aspek kehidupan termasuk sebagai suami yang penuh kasih sayang, adil, dan bertanggungjawab.
Hakikatnya, sirah membuktikan Rasulullah SAW melayan isteri-isterinya dengan penuh ihsan, membantu kerja rumah, bergurau, bersabar dan berlaku adil. Bahkan, Saidatina Aisyah RA sendiri menyatakan bahawa akhlak Baginda adalah Al-Quran. Menuduh Baginda gagal sebagai suami bukan sahaja satu kenyataan tidak berasas, malah boleh membawa kepada penghinaan terhadap Nabi SAW yang termasuk dalam perkara merosakkan akidah jika diyakini. Ini kerana kedudukan Nabi SAW dalam Islam adalah maksum dan dipelihara oleh Allah SWT daripada sifat-sifat tercela yang menjejaskan risalah Baginda.
Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu…” (Surah Al-Ahzab: 21). Dalam hadis pula, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah yang paling baik terhadap isteriku.” (Riwayat Tirmizi). Jelas bahawa Islam telah meletakkan “standard” tertinggi dalam hubungan suami isteri melalui contoh Rasulullah SAW. Oleh itu, umat Islam perlu berwaspada terhadap fahaman feminisme liberal yang cuba merosakkan kefahaman agama serta kembalilah kepada sumber yang sahih agar akidah terus terpelihara.

Comments
Post a Comment