Seruan seperti kempen “nyah keluar pendatang/pelarian” yang tular di media sosial mencerminkan keresahan sebahagian rakyat terhadap isu lambakan pendatang tanpa izin (PATI). Malah, wujud “group” di Facebook seperti Gerakan Rakyat Malaysia Anti Pendatang Tanpa Izin (GERAM@PATI) yang menghimpunkan suara-suara netizen berkaitan isu ini.
Realitinya, Malaysia memang berdepan cabaran berkaitan keselamatan, ekonomi dan sosial, khususnya melibatkan kemasukan warga asing tanpa dokumen. Namun, naratif yang bersifat provokatif, melabel dan menghasut kebencian hanya akan mengeruhkan keadaan serta membuka ruang kepada konflik dalam masyarakat.
Malaysia sebagai negara berdaulat mempunyai undang-undang jelas untuk mengurus isu ini, termasuk melalui Akta Imigresen 1959/63 yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pendatang tanpa izin. Penguatkuasaan perlu disokong secara rasional, bukan digantikan dengan gerakan emosi atau tindakan luar batas undang-undang.
Justeru itu, salurkan kebimbangan melalui cara yang betul iaitu dengan menyokong dasar, lapor kepada pihak berkuasa dan elakkan terlibat dengan kempen yang berunsur kebencian atau hasutan. Kita berhak menjaga keselamatan negara, tetapi ia mesti dilakukan dengan hikmah, keadilan dan berlandaskan undang-undang. Negara kuat bukan kerana kebencian, tetapi kerana kebijaksanaan rakyatnya mengurus perbezaan.

Comments
Post a Comment