JANGAN TUNGGU MEREKA PERGI, BARU KITA MENCARI

 


Kes kematian warga emas yang tinggal bersendirian semakin membimbangkan dan sering hanya disedari selepas segalanya terlambat. Hakikat ini menyentuh hati,  bagaimana seseorang boleh “hilang” dalam diam tanpa disedari sesiapa? Ia mencerminkan semakin regangnya hubungan dalam keluarga atau masyarakat apabila golongan tua terbiar tanpa perhatian dan kasih sayang.

Malaysia kini menuju ke arah negara menua, dengan unjuran satu daripada lima rakyat adalah warga emas menjelang 2050. Namun di sebalik angka itu, ramai yang berdepan kesunyian, sakit tanpa bantuan dan terputus hubungan dengan keluarga. Sedangkan Islam mengingatkan: “Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa...” (Surah An-Nisa’, 4:36), sebagai seruan agar kita tidak mengabaikan mereka yang pernah membesarkan kita.

Usaha seperti penyediaan ‘butang panik’ amat baik, namun ia tidak mampu menggantikan keprihatinan manusia. Kadangkala, satu panggilan atau ziarah sudah cukup memberi harapan. Jangan tunggu kehilangan baru kita tersedar kerana kasih sayang yang lambat tidak lagi bermakna.


Comments