RASUAH: BILA PEMIMPIN KHIANATI AMANAH RAKYAT

 

Isu rasuah dalam kalangan pemimpin bukan lagi cerita lama. Hari ini kita masih melihat kes demi kes dibongkar, melibatkan tokoh berpengaruh yang sepatutnya menjaga amanah, tetapi memilih jalan mudah demi kepentingan peribadi. Ada yang sanggup “jual” kuasa, luluskan projek berat sebelah, malah seleweng dana rakyat. Lebih menyedihkan bila yang bersalah masih cuba normalisasikan perbuatan ini seolah-olah ia perkara biasa.


Rasuah bukan sekadar salah di sisi undang-undang, tapi racun yang menghancurkan negara dari dalam. Bila pemimpin rosak, sistem ikut rosak. Yang layak dinafikan, yang memberi suapan diutamakan. Akhirnya rakyat biasa yang menanggung akibat, ekonomi terjejas, jurang kaya miskin melebar dan kepercayaan terhadap kepimpinan hancur. Jika dibiarkan, generasi akan datang mewarisi sistem yang penuh penipuan dan ketidakadilan.


Islam tegas mengharamkan rasuah. Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu makan harta orang lain dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim kerana hendak memakan sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)” (Surah Al-Baqarah: 188). Ini bukan sekadar larangan, tapi amaran keras. Rasuah adalah dosa besar yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Ingat, jawatan itu amanah, bukan peluang kaut keuntungan. Dunia mungkin terlepas, tapi akhirat tiada siapa boleh lari.

Comments