REMAJA HAMIL: ISYARAT KRISIS MORAL YANG TIDAK BOLEH DIPANDANG RINGAN

 


Isu kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja di Malaysia semakin membimbangkan dan memerlukan perhatian serius semua pihak. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menegaskan bahawa masalah ini bukan sahaja memberi kesan kepada masa depan remaja, malah turut menjejaskan institusi keluarga dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan. Statistik yang direkodkan (21,114 remaja berusia 10-19 tahun hamil) menunjukkan angka kes yang tinggi, sekali gus memberi isyarat bahawa gejala sosial ini semakin meruncing.

Fenomena ini bukan lagi berpunca daripada persekitaran fizikal semata-mata, malah dipengaruhi oleh dunia digital yang semakin sukar dikawal. Risiko seperti pengantunan seksual (grooming), eksploitasi serta pengaruh media sosial membuka ruang kepada remaja terjebak dalam hubungan tidak sihat. Kurangnya didikan agama dan komunikasi dalam keluarga turut menjadi faktor yang mendorong remaja membuat keputusan berisiko. Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu menghampiri zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk.” (Surah Al-Isra’, 17:32).

Justeru itu, pendekatan menyeluruh perlu digerakkan termasuk pendidikan kesedaran, pengukuhan institusi keluarga dan bimbingan agama yang berterusan. Peranan ibu bapa sebagai benteng utama amat penting dalam membentuk jati diri anak-anak. Tanpa tindakan proaktif semua pihak, isu ini berpotensi menjadi krisis sosial yang lebih besar dan mengancam masa depan generasi muda negara.


Comments