Tular di Facebook dakwaan yang cuba menggambarkan Saidina Umar al-Khattab RA sebagai menghalalkan perkara yang jelas haram seperti perkahwinan antara ibu dan anak serta membiarkan perbuatan liwat. Dakwaan seperti ini sering muncul dalam polemik yang menyerang peribadi para sahabat Nabi SAW, khususnya Saidina Umar RA. Hakikatnya, ia dibina atas petikan riwayat yang dipisahkan daripada konteks dan tidak menepati disiplin ilmu hadis serta hukum syarak. Sedangkan Allah SWT telah jelas mengharamkan perkahwinan dengan mahram melalui firman-Nya: “Diharamkan ke atas kamu (mengahwini) ibu-ibu kamu…” (Surah al-Nisa’: 23).
Saidina Umar RA adalah antara sahabat utama Rasulullah SAW, khalifah kedua Islam dalam kalangan Khulafa’ ar-Rasyidin dan tokoh yang mendapat pujian besar dalam sejarah umat Islam. Riwayat yang cuba disalahtafsirkan dan bercanggah dengan prinsip syariat sudah tentu dianggap sebagai cubaan golongan Syiah memfitnah sahabat Nabi SAW dan memanipulasikan pemikiran umat Islam yang berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Begitu juga dakwaan bahawa perbuatan liwat pada zaman Umar RA bukan bermaksud beliau meredai atau menghalalkannya. Bahkan riwayat tersebut menunjukkan tindakan Umar RA segera melakukan pencegahan terhadap kemungkaran tersebut. Justeru itu, umat Islam perlu berpegang kepada al-Quran, Sunnah dan kefahaman para ulama muktabar. Menolak ideologi yang bercanggah dengan asas akidah ASWJ seperti Syiah hendaklah dilakukan dengan ilmu dan hujah, bukan dengan fitnah atau emosi.

Comments
Post a Comment