ANJING DIJERUT SAMPAI MATI - ADAKAH MANUSIA SUDAH HILANG PERIKEMANUSIAAN?

 


Kes seekor anjing dijerut hingga mati di Klang tempoh hari kini hangat diperkatakan di media sosial. Bermula dengan perkongsian di Threads dan Instagram, haiwan tersebut ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dengan kesan jerutan pada leher. Perkongsian ini mencetuskan kemarahan ramai, khususnya pencinta haiwan yang menggesa siasatan segera dan tindakan tegas terhadap pelaku. Malah, kenyataan pihak istana turut menzahirkan rasa dukacita dan menegaskan bahawa sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan tidak boleh diterima, tanpa mengira siapa pelakunya.

Dalam Islam, berbuat ihsan kepada haiwan bukan pilihan, tapi tuntutan. Rasulullah SAW menegaskan bahawa kezaliman terhadap haiwan tidak akan terlepas daripada pembalasan. Firman Allah dalam Surah Al-An’am ayat 38: “Dan tidak ada seekor binatang melata di bumi dan tidak juga burung yang terbang dengan kedua-dua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu…” Ini jelas menunjukkan haiwan juga makhluk Allah yang perlu dihormati. Apa jua bentuk penderaan bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencerminkan kegagalan kita sebagai manusia yang sepatutnya berperikemanusiaan.

Kalau haiwan dianggap mengganggu, ada cara berhemah untuk bertindak, laporkan kepada pihak berkuasa, bukan ambil tindakan kejam. Setiap pihak perlu memainkan peranan dalam membina masyarakat yang berbelas ihsan terhadap semua makhluk. Isu ini bukan sekadar tentang seekor anjing, tetapi cerminan nilai kita sebagai manusia. Jangan sampai hilang sifat ihsan dalam diri. Khuatir hari ini pada haiwan, esok pula pada manusia?


Comments