Isu “hydrogen inhaler” kini semakin tular dengan pelbagai dakwaan kononnya mampu merawat penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan masalah jantung. Promosi yang dibuat sering menampilkan ia sebagai “rawatan ajaib” yang boleh memberi kesan segera tanpa bukti kukuh. Namun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi amaran bahawa dakwaan tersebut masih belum dibuktikan secara saintifik dan boleh mengelirukan orang ramai.
Lebih membimbangkan, terdapat pihak yang mengambil kesempatan menjual peranti ini tanpa kelulusan sah. Peranti perubatan di Malaysia wajib berdaftar dengan pihak berkuasa dan penjualan produk tidak berdaftar adalah satu kesalahan. Dakwaan melampau seperti “membuang toksin” atau “menyembuhkan pelbagai penyakit” hanyalah taktik pemasaran yang boleh memperdaya pengguna, khususnya golongan warga emas yang lebih mudah terpengaruh dengan janji kesembuhan segera.
Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan produk kesihatan yang viral di media sosial. Jangan jadikan kesihatan sebagai taruhan kepada sesuatu yang belum terbukti. Sentiasa rujuk doktor bertauliah dan semak status kelulusan sebelum membeli. Lindungi diri dan keluarga terutamanya warga emas daripada menjadi mangsa janji palsu yang akhirnya membawa kerugian.
#HydrogenInhaler #KKM #kesihatan #wargaEmas #keluarga
Comments
Post a Comment