KES REMAJA HILANG: AMARAN AWAL SEBELUM TERLAMBAT

 

Kebelakangan ini, beberapa kes melibatkan remaja dan pelajar yang dilaporkan hilang kembali mendapat perhatian masyarakat. Ada yang masih bersekolah, ada juga mahasiswa yang tinggal jauh daripada keluarga. Situasi ini sepatutnya menjadi peringatan bahawa keselamatan anak-anak tidak boleh dipandang ringan. Perubahan kecil seperti tiba-tiba menyepi, keluar tanpa memaklumkan destinasi, memutuskan lokasi telefon atau mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan perlu diberi perhatian.

Ibu bapa perlu lebih dekat dengan anak, bukan sekadar bertanya “dah makan?” tetapi juga tahu siapa rakan mereka, ke mana mereka pergi, bila dijangka pulang dan jika berlaku sesuatu, siapa yang boleh dihubungi. Dalam masa sama, anak-anak juga perlu dididik supaya tidak mudah mempercayai orang yang baru dikenali, tidak berkongsi lokasi secara terbuka di media sosial dan segera memaklumkan kepada keluarga atau pihak dipercayai jika berdepan ancaman, pujukan atau situasi mencurigakan.

Jangan anggap perubahan sikap anak sebagai perkara kecil. Jangan tunggu 24 jam untuk mula mengambil tindakan apabila ada kebimbangan serius. Jika seseorang benar-benar tidak dapat dikesan, segera hubungi keluarga, pihak sekolah atau IPT dan buat laporan kepada polis. Satu panggilan, satu maklumat atau satu perkongsian yang tepat mungkin menjadi titik penting dalam usaha menemukan mereka. Anak-anak bukan sekadar tanggungjawab keluarga, tetapi amanah yang perlu dijaga bersama.

#RemajaHilang2026 #AktifkanNURAlert #JagaAnakKita #SinergiPDRM


Comments