Isu perobohan kuil yang didakwa dibina secara haram kembali mencetuskan perdebatan hangat dalam masyarakat. Kes di Perlis, misalnya memperlihatkan tindakan diambil selepas didapati beberapa rumah ibadat dibina tanpa kebenaran sah di atas tanah kerajaan, malah notis pengosongan telah diberikan lebih awal sebelum penguatkuasaan dilakukan. Situasi ini menimbulkan pelbagai reaksi, termasuk salah faham yang mengaitkannya dengan sensitiviti agama dan kaum.
Hakikatnya, isu ini bukan soal mempertikaikan mana-mana agama, bangsa atau kepercayaan. Prinsip undang-undang di Malaysia jelas, semua rumah ibadat, sama ada masjid, gereja atau kuil, wajib mematuhi syarat pemilikan tanah dan kelulusan pihak berkuasa. Jika sesuatu struktur dibina tanpa kebenaran, maka tindakan penguatkuasaan adalah berasaskan undang-undang, bukan sentimen. Malah, pakar undang-undang menegaskan kebebasan beragama tidak bermaksud pengecualian daripada mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Justeru itu, masyarakat perlu menilai isu ini dengan rasional dan berpandukan fakta, bukan emosi. Jangan mudah terpengaruh dengan naratif yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum. Elakkan fitnah, provokasi dan serangan melulu tanpa memahami konteks sebenar. Kedaulatan undang-undang mesti menjadi asas, kerana hanya dengan itu keharmonian dan keamanan negara dapat terus dipelihara.

Comments
Post a Comment