Cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) membuka lembaran baharu dalam dunia pendidikan tinggi negara. Ia memberi ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk bersuara, berfikir dan terlibat dalam isu-isu semasa tanpa sekatan yang ketat. Namun, kebebasan ini bukanlah lesen untuk bersuara tanpa batas, sebaliknya perlu diiringi dengan tanggungjawab dan kematangan dalam berfikir.
Akta baharu yang bakal diperkenalkan perlu bersifat lebih menyeluruh, bukan hanya menekankan kebebasan tetapi turut membentuk jati diri mahasiswa yang berilmu, beradab dan berakhlak. Universiti bukan sekadar tempat meluahkan pandangan tetapi medan membina generasi pemimpin masa depan. Tanpa panduan nilai dan etika, kebebasan yang diberikan berisiko disalah guna hingga mencetuskan perpecahan atau kekeliruan dalam masyarakat.
Justeru itu, pemansuhan AUKU harus dilihat sebagai peluang untuk melahirkan mahasiswa yang seimbang antara keberanian bersuara dan kebijaksanaan bertindak. Mahasiswa perlu bukan sahaja lantang, tetapi juga berfikir dengan matang, menjaga adab serta memahami tanggungjawab mereka sebagai agen perubahan. Inilah asas kepada pembinaan generasi masa depan yang bukan sekadar vokal tetapi berkualiti dan berprinsip.
#MansuhAUKU #SuaraKampu #ReformasiPendidikan #KementerianPendidikanTinggi

Comments
Post a Comment